rap

Tasha jumpa pakar ubati kemurungan

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Tasha Shila mendedahkan dia kini mendapatkan rawatan daripada pakar untuk penyakit kemurungan yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Tasha, 32, berkata dia mula berjumpa pakar terbabit sejak hujung tahun lalu dan mengakui dirinya mengalami perubahan positif yang sangat besar dalam hidupnya.

“Saya pernah putus asa dan sangat ‘down’ terutama selepas putus cinta sebelum ini. Sampaikan ada rakan yang anggap saya gila.

“Bila sudah pergi pakar, alhamdulillah sekarang dapat kawal diri dengan baik. Syukur sekarang hidup saya jauh lebih positif dan aktif lakukan aktiviti riadah termasuklah mendaki bukit,” katanya.

Disebabkan kemurungan, Tasha mendedahkan dia turut mendengar bayangan dan suara namun tidak sampai ke tahap mahu membunuh diri.

“Tidak sampai tahap mahu bunuh diri namun memang ada bayangan dan suara yang menyuruh untuk tidak payah hidup. Tapi nasib kita ada agama kan?.

“Apapun, agama tetap agama namun kita kena berusaha untuk rawat diri sendiri juga,” katanya.

Menurutnya, dia kini terbuka berkongsi mengenai hal itu kepada umum di sosial media untuk memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga kesihatan mental.

“Sebenarnya saya awalnya malu untuk berkongsi hal ini selepas diminta pakar terbabit berbuat demikian memandangkan saya ‘public figure’. Saya takut jika orang tidak faham.

“Bila mula berkongsi, ramai peminat dari Brunei, Sabah, dan Sarawak datang berjumpa pakar terbabit. Saya gembira dapat kongsi pengalaman untuk memberi sokongan.

“Kesedaran mengenai kesihatan mental ini sangat penting,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 3:15pm
d