rap

Finalis usia muda

Oleh Ramlah Zainal

ACARA berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) sudah memasuki edisi ke-33 penganjurannya dan masih relevan hingga ke hari ini.

Sepanjang tiga dekad, AJL yang memartabatkan lagu ciptaan komposer tanah air menyaksikan kemunculan dan kebangkitan ramai artis muda berbakat besar bersaing dengan penyanyi sedia ada.

Sempena AJL33 yang berlangsung esok, Bling! menyenaraikan 10 artis popular bergelar finalis pada usia muda bermula dengan rekod yang dipegang Stacy yang ketika itu baru 17 tahun diikuti Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Jerat Percintaan pada umur 18 tahun.

1. Stacy Anam

Rekod sebagai finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) termuda dipegang penyanyi popular ini pada usia 17 tahun.

Stacy yang dicalonkan menerusi lagu Aku Stacy berjaya melangkah ke pentas AJL buat pertama kalinya pada 2009.

Menyusul selepas itu, Stacy dicalonkan ke pentas AJL menerusi beberapa lagu seperti Pakai Buang (2010), Jahat (2011), Pelangi Senja (2013), Bosan (2014), Gilalah (2015) dan Not For Sale (2016).

Walaupun sudah dicalonkan tujuh kali sebagai finalis AJL, ternyata rezeki masih belum menyebelahi Stacy untuk memenangi pertandingan berprestij yang mengangkat martabat karya komposer tempatan.

2. Datuk Seri Siti Nurhaliza

Penyanyi tersohor ini mula melangkah ke pentas akhir AJL pada usia 18 tahun menerusi kemenangan lagu Jerat Percintaan pada 1996.

Nama Siti terus melonjak di pentas AJL selepas lapan tahun berturut-turut layak ke AJL dari 1996 hingga 2003 sekali gus mengukuhkan namanya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Selain pernah bergelar juara sebanyak tiga kali, Siti pernah memenangi lima kali kategori persembahan terbaik di AJL.

Kemenangan Siti bermula di AJL dengan Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu (1997), Cindai (1998), Hati Kama (1999), Balqis (2000),Ya Maulai (2001), Nirmala (2002) dan Ku Milikmu (2003).

3. Haqiem Rusly

Penyanyi muda Haqiem Rusli, 19, antara bakat baru yang mendapat perhatian ramai ketika ini. Lagu popularnya, Tergantung Sepi berjaya melayakkan Haqiem memenangi tempat ketiga AJL32 pada tahun lalu. Menerusi AJL33, Haqiem kembali mempertaruhkan lagu Jatuh Bangun dan menampilkan Aman Ra.

4. Aiman Tino

Bakat penyanyi muda Aiman Tino mendapat perhatian ramai menerusi lagu Ku Rela Dibenci yang pernah mencetuskan fenomena dengan meraih lebih 43 juta tontonan di laman YouTube sekali gus melakar sejarah apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBR). Kehebatan lagu ciptaan ibu bapanya, Yusri Ishak dan Hazelina Mat Jalil juga berjaya melayakkan Aiman melangkah ke pentas AJL31 (2016) pada usia 19 tahun.

5. Adira

Penyanyi Siti Adira Suhaimi berjaya melangkah ke pentas AJL menerusi lagu Ku Ada Kamu pada AJL25 pada usia 19 tahun. Pada AJL27, Adira berjaya ke pentas akhir menerusi lagu duet popular bersama Hafiz Suip yang juga runut bunyi filem fenomena, Ombak Rindu.

6. Ara Johari

Pada usia 20 tahun, penyanyi muda Ara Johari beraksi di pentas akhir AJL32 buat kali pertama menerusi lagu Warkah Untukmu pada tahun lalu.

Pada AJL33 pula, penyanyi berbakat besar dan pemilik nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari

ini bakal mempertaruhkan lagu Bunga ciptaan

Hang Nadim, Laq dan Kadok.

7. Hafiz Suip

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz Suip mula bertanding di pentas AJL24 (2009) menerusi lagu Masih Jelas ketika berumur 19 tahun.

Pada AJL25, Hafiz bertanding menerusi lagu Noktah Cinta ciptaan

Ajai. Namun, Hafiz melakar kejayaan di pentas akhir menerusi lagu Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir vokal pada AJL26 ( 2011). Pada AJL27, Hafiz berjaya ke pentas akhir menerusi lagu Ku Akui dan lagu duet Ombak Rindu ciptaan Nurzaidi Abd Rahman bersama penyanyi Adira Suhaimi pada AJL27.

Pada AJL28 dan AJL29, Hafiz mara ke acara berprestij itu menerusi lagu Bahagiamu Deritaku ciptaan komposer LY dan lagu Matahari ciptaan Ajai.

8. Khai Bahar

Khai, 23, berjaya melangkah kali pertama di pentas AJL32 menerusi lagu Bayang tahun lalu.

Pada tahun ini, lagu ciptaan Khai sendiri iaitu Luluh berjaya mara ke AJL33.

Lagu dan video muzik Luluh juga sudah mencecah 39 juta tontonan sejak dilancarkan Julai tahun lalu.

9. Sufian Suhaimi

Single hit pertamanya Terakhir ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen melayakkan Sufian,

24, ke pentas akhir AJL31 pada 2017.

Selepas single Terakhir, single keempatnya, Dimatamu juga ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen yang dimuat naik di YouTube pada tahun lalu berjaya mencecah 50 juta tontonan.

Malah, Sufian juga bakal bertanding menerusi lagu Dimatamu di pentas berprestij AJL33.

10. Wany Hasrita

Populariti lagu menahan Rindu dendangannya berjaya melayakkan penyanyi Wany Hasrita, 27, pada pentas AJL 32 buat kali pertama pada tahun lalu.

Walaupun tidak menang, nama Wany atau pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah berjaya menempatkan nama dalam kelompok artis muda popular sedia ada.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 10:39am
d