rap

Hael terkejut dinobatkan juara AJL33

Oleh Georgie Joseph

KOMPOSER dan penyanyi Haram, Hael Husaini serta penyanyi bersama Dayang Nurfaizah mengakui tidak menjangkakan lagu itu dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33).

Menurut Hael, misinya bersama Dayang untuk AJL33 hanyalah untuk memberikan yang terbaik serta berseronok menerusi persembahan mereka.

“Dari awal lagi, saya dan Dayang cakap tahun ini kami lebih kepada membuat persembahan, nyanyi untuk bagi balik pada peminat apa yang mereka sudah beri kepada kami sepanjang tahun ini.

“Jadi kami fikir, malam ini kami seikhlas hati mahu menghibur. Tak fikir untuk menang apa-apa tapi itulah, rezeki,” katanya.

Hael juga tidak menaruh harapan menang untuk mana-mana lagu ciptaannya yang bertanding termasuklah Hajat serta Nisan Cinta nyanyian Jaclyn Victor dan Siti Nordiana.

“Sebenarnya saya tak nak letak sebarang harapan untuk menang disebabkan kalau saya letak ‘favoritism’ pada lagu tertentu, tidak adil buat penyanyi lain.

“Apa yang boleh saya buat adalah cuba sedaya-upaya untuk bagi semua sama rata. Pada malam ini, terpulang kepada artis itu sendiri untuk bawa lagu itu ke depan,” katanya.

Selain Haram, dua lagu ciptaan Hael bersama Ezra Kong iaitu Hajat dan Nisan Cinta tidak memenangi sebarang anugerah.

AJL33 diadili 10 juri professional yang terdiri daripada Azmeer, Datuk Wah Idris, Datuk Mokzhani Ismail, Helen Yap, LY Baiduri, Ajai, AG Coco, Manan Ngah, Adi Priyo dan Faizal Uzir atau Lok U.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 8:43am
d