rap

Remy bakal lancar Sedekad

Oleh Najiy Jefri

“SEDEKAD akan menjawab setiap persoalan termasuk fasa di mana saya diuji dengan ego dalam diri serta perkara pelik dan mistik yang mana akhirnya mengundang kejatuhan dan kemurungan dalam diri saya sendiri," luah pelakon Remy Ishak mengenai kandungan buku biografi miliknya yang bakal dilancarkan 11 April ini.

Remy berkata, buku berjudul Sedekad itu turut menjawab setiap persoalan yang tidak pernah didedahkannya kepada rakan media sebelum ini.

"Sedekad akan memetik perjalanan dan pengembaraan saya sebagai anak seni bermula dari 2009, tahun di mana nama Remy Ishak mula dikenali sebagai pelakon selepas diberi peluang membawa watak Adam dalam drama Nur Kasih.

"Ia menceritakan segala yang tersurat dan kejadian yang berlaku kepada diri saya untuk kehidupan seterusnya hingga 2019,” tulisnya di Instagram.

Menurut Remy, selepas melalui beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan akhirnya buku terbabit bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, tahun ini saya masih bernyawa, masih bernafas di bumi indah milik pencipta yang Maha Esa untuk sekalian semesta, Allah SWT. "Bagai mendapat satu semangat baru yang saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya, saya berbincang dengan beberapa tokoh hebat dalam bidang penulisan untuk meneruskan impian dan hasrat saya.

"Pelbagai kata positif dan sokongan penuh saya terima untuk meneruskan hasrat ini.

"Saya sudah fikir sehabis baik dan Insya-Allah akan melancarkan buku ini pada hari kelahiran saya iaitu tanggal 11 April 2019 ," tulisnya lagi.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 2:48pm
d