rap

Di Matamu 'trending' [VIDEO]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KURANG 24 jam dimuat naik, video persembahan penyanyi Sufian Suhaimi menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu ke-33 semalam ‘trending’ nombor satu di laman YouTube TV3 Malaysia.

Kejayaan itu turut mengulangi sejarah persembahan lagu Aku Cinta nyanyian Ernie Zakri dan Syamel pada AJL 32 lalu.

Menariknya, video Sufian itu sudah melebihi 1.8 juta tontonan sekai gus menewaskan video persembahan finalis lain.

Sufian berkata, dia tidak menjangka persembahan itu mampu menarik perhatian peminat dan tular di semua platform media sosial.

“Alhamdulillah, saya nak berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan persembahan semalam. Ikut perancangan asal, saya berseorangan tanpa ada prop.

“Namun, Hatta Dolmat yang bertindak selaku pereka dan juru gaya saya sudi membantu mendapatkan khidmat perancang perkahwinan The Calla.

“Apabila persembahan saya ini diperkatakan sejak semalam, ia satu pencapaian dan kejayaan buat semua pihak. Mungkin tak puas nak tengok semalam, jadi mereka menonton berulang kali,” katanya kepada Harian Metro.

Sufian yang membawa pulang trofi Persembahan Terbaik berkata, dia berasa puas dengan apa yang dipersembahkan berdasarkan maklum balas diterima daripada banyak pihak.

“Saya terharu melihat sokongan penonton apabila mereka menyalakan lampu telefon bimbit. Malah, ‘standing ovation’ yang diberikan usai persembahan juga sesuatu yang bermakna buat saya.

“Sebagai penyanyi, saya sudah menyampaikan lagu ini sebaik mungkin. Saya tidak fikir apa-apa melainkan ingin menghiburkan penonton. Malah, apabila ada rakan artis dan penonton menangis, saya anggap mereka merasai nyanyian saya.

“Apa pun persepsi diberikan orang ramai terhadap bentuk persembahan saya, ia pendapat masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:21pm
d