rap

Zehra kembali solo

Oleh Amirul Haswendy Ashari

“SAKIT itu masih berbekas,” kata penyanyi dan pengacara Zehra Zambri, 31, yang sudah berpisah dengan bekas suami, Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi, 29, awal tahun lalu.

Enggan berkongsi punca perpisahan, Zehra ketika dihubungi Harian Metro berkata, perkahwinan mereka hanya bertahan kurang setahun.

“Punca berpisah biarlah kami saja yang tahu tapi saya bersyukur keluarga banyak memberi sokongan dan sentiasa berada di sisi.

“Tanpa mereka, saya pasti sudah jadi ‘gila’ kerana hampir mengalami depresi selepas bercerai,” katanya.

Zehra akui kerjaya sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia banyak membantu kerana mendapat pelbagai ilmu dan motivasi daripada tetamu undangan.

Pada masa ini, penyanyi yang pernah popular dengan lagu irama Malaysia itu mahu fokus terhadap kerjaya dan keluarga kerana ia lebih menenangkan.

“Ramai tidak tahu mengenai keadaan saya (sudah bercerai) kecuali keluarga saja. Sebelum ini andai ada yang bertanya, saya hanya senyum tetapi apabila semakin ramai bertanya saya terpaksa berterus-terang sudah kembali solo.

“Apa boleh saya katakan, saya masih trauma dan buat masa ini tidak mahu fikir soal pengganti,” katanya yang pernah popular dengan lagu Semalakama.

Perceraian Zehra dan bekas suami mula dihidu selepas penyanyi itu dilihat memadam foto perkahwinan di laman sosial Instagram sejak tahun lalu.

Imbas kembali, Zehra bernikah dengan Wan Muhammad Nurhariz yang juga guru di sebuah sekolah di Bangsar pada 14 Oktober 2017 selepas beberapa bulan berkenalan.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 6:30pm
d