rap

Terharu maklum balas peminat Indonesia

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERSEMBAHAN Sufian Suhaimi menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) pada Ahad lalu terus menjadi buah mulut dalam kalangan peminat.

Terbaru, beberapa pengulas YouTube luar negara seperti dari Indonesia, Filipina dan Russia memuat naik video reaksi mereka terhadap persembahan penyanyi itu.

Malah, laman YouTube TV3 Malaysia juga dibanjiri dengan komen daripada peminat Sufian dari Indonesia.

Sufian, 27, berkata dia berterima kasih dengan sokongan diberikan dan tidak menjangka ia akan menarik minat beberapa pihak untuk membuat ulasan.

Sebelum ini pun sudah ramai yang buat video reaksi untuk lagu dan muzik video Di Matamu. Saya tidak menjangka persembahan di AJL 33 pun ada lagi yang sudi buat ulasan.

“Saya pun baru tahu perkara ini. Cuma, apa pun ulasan yang mereka berikan saya anggap ia pendapat peribadi. Saya okay saja. Tak ada sebarang isu pun.

“Saya juga berasa terharu apabila mendapat maklum balas positif daripada peminat di Indonesia. Macam dikatakan sebelum ini, saya sudah berikan yang terbaik. Apa yang dipersembahkan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak," katanya kepada Harian Metro.

Sehingga kini, video asal yang dimuat naik di YouTube TV3 Malaysia sudah mencecah 3.9 juta tontonan dan mendapat lebih 15,000 komen.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 6:43pm
d