rap

Kecoh buka tudung

Oleh Syanty Octavia Amry

ISU artis yang membuka hijab kebelakangan ini menjadi perbahasan hangat banyak pihak termasuklah netizen.

Selepas video mendakwa pelakon Fathia Latif dilihat tidak berhijab tular, baru-baru ini, kecoh pula mengenai pelakon Emma Maembong yang nekad membuka tudung selepas lima tahun berhijrah.

Perkara ini dilihat bukan hanya memberi kesan kepada individu itu tetapi mungkin juga mengganggu perjalanan promosi sesebuah drama atau filem lakonan mereka.

Malah, tidak mustahil peminat atau netizen me­ngambil pendekatan memboikot drama lakonan mereka disebabkan kecewa dengan apa yang berlaku.

Ini secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada produksi yang menerbit­kan drama lakonan artis itu.

Cuit sikit mendapatkan pandangan tiga penerbit mengenai isu ini.

Michael Ang

Jika mereka berbakat haruslah diberi peluang tidak kiralah sama ada pakai tudung atau tidak. Dalam hal ini kita ambil pelakon berdasarkan pilihan stesen televisyen.

Saya sendiri sebagai penerbit tidak ada masalah kerana itu hal peribadi mereka.

Apabila ada artis yang berani bercakap soal rela drama lakonan mereka diboikot, itu terserah kepada netizen.

Berdasarkan pemerhatian saya selama ini, bukan semua netizen sewenang-wenang­nya memboikot drama hanya kerana isu buka tudung.

Kalau lakonan pelakon itu bagus, pasti ramai akan menonton drama yang ditayangkan.

Datuk A Aida

Soal bertudung urusan seseorang itu dengan Allah SWT. Kita tidak boleh mempertikaikan tindakan mereka.

Sebagai pelakon, mereka suri teladan kepada masyarakat dan dalam hal ini saya lihat ada baik buruknya.

Stesen TV yang akan menentukan barisan pelakon sesebuah drama dan sebagai penerbit, kami hanya mengi­kut saja.

Namun jika pelakon itu ada cerita kurang enak atau isu buka tudung, tidak dinafikan memang ia beri kesan kepada produksi.

Kita akan dapat lihat sama ada rating drama itu naik atau turun. Ada peminat suka melihat artis kesayangan mereka bertudung dan apabila buka tudung, mereka akan berasa sangat marah sehingga ambil keputusan untuk boikot drama lakonan artis berkenaan.

Ada juga peminat yang terus menyokong tanpa sebarang prejudis. Semua ini terpulang kepada peminat.

Justeru, saya berharap anak seni lebih peka dengan apa yang dilakukan kerana mereka sentiasa menjadi perhatian ramai.

Fadzil Teh

Saya tidak kisah sangat soal ini kerana sebagai manusia, saya sendiri juga banyak kekurangan. Jika ada watak sesuai saya akan tawarkan kerja kepada pelakon itu.

Walaupun sebenarnya ia akan beri kesan kepada produksi, kita akan berbalik kepada keinginan penonton dan netizen.

Jika mereka masih mahukan pelakon itu berlakon, kami akan teruskan. Jika sebaliknya, kenalah cari pelakon lain.

Tidak dinafikan, sekarang kehendak netizen lebih penting kerana usaha mereka sangat kuat dalam menaikkan atau menjatuh­kan artis.

Jika mereka sudah dikecam teruk sehingga memberi kesan buruk kepada rating drama memang tidak baguslah.

Nasihat saya kepada artis, apabila hendak buat sesuatu perkara, bulatkan tekad dan jangan hari ini kata hendak pakai tudung, tiba-tiba nanti ditanggalkan pula.

Kalau rasa belum bersedia, jangan buat. Dunia hiburan banyak cabarannya. Kalau rasa iman belum kuat, janganlah masuk dalam industri seni.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 9:11am
d