rap

Syuhada yakin genre balada

Oleh Norhayati Nordin

Apabila popular dengan single kedua berjudul Bukan Dia pada 2016, penyanyi Syuhada Amin, 23, berasakan kariernya mampu ‘bernafas’ stabil.

Apatah lagi, single Bukan Dia yang bergenre pop reggae itu mesra radio dan video muzik rasmi yang dimuat naik ke YouTube juga meraih lebih dua juta tontonan, tidak termasuk video lirik lagu berkenaan.

Namun, percaturan itu tidak seperti diharapkan apabila single ketiga berjudul Tak Kena gagal meneruskan populariti Syuhada.

Enggan goyah dengan dugaan itu, Syuhada bersikap positif. Dia sedar laluan untuknya tidak semudah yang ditempuh penyanyi lain.

Bersua dengan anak bongsu yang lahir dalam keluarga sederhana ini pada sesi fotografi, dia akur kemungkinan aura pesona diri dan bakatnya memerlukan masa untuk menyerlah.

“Saya tahu mungkin nasib dan tuah saya untuk berjaya dalam karier nyanyian tidak seperti penyanyi lain. Saya kena banyak bersabar, cekalkan hati dan terus berusaha.

“Perumpamaan kejayaan tak datang bergolek tanpa usaha itu benar-benar tepat dengan apa yang saya lalui sekarang. Saya kena tabah.

“Apapun, saya tidak boleh sekali-kali menyalahkan takdir,” katanya yang pernah dinobatkan juara Idola Kecil musim pertama siaran TV9 pada 2008.

Sedekad memperjuangkan bakatnya, Syuhada yang bernaung bawah syarikat rakaman SRC baru-baru ini muncul dengan single keempat berjudul Semesta bergenre balada.

Mengulas lanjut single itu, Syuhada berkata, dia teruja dapat merakamkan lagu ciptaan komposer Omar K dan lirik ditulis oleh Ikhwan Fatanna. Kata Syuhada, genre balada adalah kekuatan sesuai dengan vokalnya.

“Sempena 2019, saya mengharapkan ada sinar dalam karier nyanyian. Semoga single Semesta diterima ramai dan mesra radio.

“Buat masa ini, saya rancak mempromosikan single ini,” katanya.

Ditanya juga mengenai dirinya yang ‘bersih’ gosip dan cerita sensasi, Syuhada atau nama sebenar Wan Syuhada Md Amin berkata itu antara sebab mengapa kariernya berada pada tahap sekarang.

“Saya tahu ada kala gosip atau cerita sensasi membantu seseorang selebriti untuk dikenali. Namun, takkan saya perlu mencetuskan gosip semata-mata untuk jadi terkenal dengan pantas.

“Walaupun perjalanan karier saya berliku, Alhamdulillah saya belum lagi terdesak untuk membiarkan diri terpalit dengan gosip atau cerita sensasi. Saya yakin, sampai masa adalah rezekinya.

“Sekarang, cuba tabah, sabar, cekal dan tingkatkan usaha. Saya harus cuba mendapatkan lagu yang terbaik dan menepati cita rasa pendengar,” katanya.

Mengakui bukan mudah memahami cita rasa pendengar muzik yang sering berubah, Syuhada berkata apabila sudah berusaha, dia harus tawakal dan reda dengan apa saja maklum balas diterimanya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 7:03am
d