rap

Masak dalam talian

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Peredaran dunia penerbitan yang berubah daripada era analog kepada digital kian dapat dilihat. Malah, selebriti yang sering menghiasi kaca televisyen sudah mula beralih ke platform media sosial.

Antara yang mengikut peredaran, cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail, 61, atau Chef Wan yang sebelum ini pernah memeriahkan dapur masyarakat melalui pelbagai program TV.

Buat pertama kali, beliau kembali dengan program masakan yang disiarkan hanya di laman sosial Facebook berjudul Ha Masak Kau!

Peminat dunia masakan pasti tidak boleh lupa program masakan seperti Acu-Acu Aidilfitri, Ciptarasa, Hey! Good Cooking, Selera, Saji Bistari dan Ole Ole Chef Wan.

Chef Wan berkongsi dia jarang muncul di kaca televisyen sejak beberapa tahun lalu kerana mahu fokus kepada urusan peribadi dan keluarga.

“Saya saja ambil masa untuk berehat, jaga mak selain habiskan masa di rumah. Saya tahu banyak projek yang boleh dibuat malah penaja pun ramai yang mencari selain jemputan stesen TV untuk mengendali program masakan tidak pernah putus.

“Bukan tidak mahu tapi bila terfikir, mak pula tak sihat. Saya pun banyak projek lain seperti menjadi konsultan dan sebagainya, jadi tidaklah mengharapkan sangat projek program TV saja. Sesekali ada, saya buat,” katanya.

Bercakap mengenai Ha Masak Kau, Chef Wan berkata, keunikan program itu yang disiarkan di laman sosial menarik perhatiannya.

Katanya, apabila disiarkan secara dalam talian, penonton bebas menonton ikut kelapangan mereka.

Apatah lagi tidak semua orang ada masa untuk menonton program kesukaan di kaca TV.

“Apabila ada masa sendiri, mereka berpeluang menonton program masakan dan selebriti kegemaran mereka bila-bila saja.

“Ini satu pembaharuan buat saya kerana julung kalinya terbabit dalam program masakan dalam talian,” katanya.

Bapa kepada pelakon Serina Redzuawan dan Chef Riz itu mengakui pernah ditawarkan mengendalikan program dalam talian tetapi ketika itu belum bersedia.

“Ketika itu mungkin saya seronok berada di zon selesa. Namun, saya percaya hidup kita bukan setakat ini saja dan kena mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya selalu fikir, hidup ini perjalanan yang indah dan penuh warna, sebab itulah saya sahut tawaran mengendali program ini,” katanya.

Menerusi program itu, Chef Wan teruja kerana dapat bekerjasama dengan ramai selebriti tempatan dan selebriti media sosial.

Katanya, setiap tetamu jemputan ada pengikut tersendiri dan mempunyai latar belakang serta gaya hidup berbeza.

Tanpa prejudis, beliau berpendapat ini adalah era media sosial dan tidak wajar membandingkannya dengan zamannya suatu ketika dulu.

Apatah lagi, ini adalah zaman generasi muda dan sebagai orang lama, dia hanya mengikut cara mereka.

“Ini zaman mereka, jadi ikut saja. Generasi lama seperti saya kena belajar buka hati.

“Tetamu yang hadir datang daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya. Selain bercakap mengenai isu semasa, kita bercakap mengenai pelbagai isu termasuklah penyakit, tekanan, metabolisma dan sebagainya,” katanya.

Berbekalkan pengalaman dan ilmu di dada, Chef Wan turut mencurahkan idea bagi memantapkan lagi program itu.

Katanya, fokus utama adalah mahu menonjolkan pemakanan sihat yang sumbernya datang daripada sayur-sayuran, buah-buah dan lain-lain.

Program Ha Masak Kau! bersiaran di Facebook Masak Apa Hari Ni.. bermula esok.

Antara tetamu selebriti yang dijemput memeriahkan lagi program itu ialah Aina Suzaily, Bell Ngasri, Shuk Balas, Diana Amir, Naim Daniel, Yuna Zainal dan PU Azman.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 8:05am
d