rap

Juliana tidak ingin bersedih lagi

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Indonesia, Juliana Moechtar, 30, kini sudah mampu menjalani kehidupannya seperti biasa selepas kematian suami tercinta, Herman Sikumbang.

Herman Sikumbang, 37, yang juga gitaris kumpulan Seventeen terkorban dalam tragedi Tsunami Selat Sunda di Pantai Tanjung Lesung Beach Resort, Banten pada 22 Disember, tahun lalu.

Juliana yang mesra dipanggil Ully baru-baru ini menziarah pusara Herman di Tidore bersama dua anak lelakinya sempena 40 hari kematian suaminya.

Dalam video dimuat naik di Instagramnya (IG) pelakon yang pernah membintangi drama Dia di TV3 itu menulis, dia tidak ingin terus bersedih lagi.

“Insya-Allah saya bukan ingin bersedih dan tidak ikhlas, tapi hanya terharu dengan rasa rindu. Insya-Allah saya sudah bahagia dan begitu juga almarhum (arwah).

“Insya-Allah kita semua tidak ingin bersedih lagi, 40 hari Han (panggilan istimewa Herman) di sana, #alfatihah,’ tulisnya.

Juliana yang juga finalis Putri Indonesia 2010 dengan mewakili Aceh, membintangi drama Dia bersama Irwansyah dan Janna Nick pada 2017.

Bertemu jodoh dengan Herman pada 2012, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Hafuza dan Hisyam.

Pun begitu, dalam IG anaknya @hafuza_hisyam, baru dimuat naik foto Hafuza memakai baju T berwarna biru dan topi milik Allahyarham Herman.

Dalam kapsyen foto ditulis, ‘tadi Fuza kebascam (penginapan) papa. Ada beberapa baju dan topi papa yang dari Tanjung Lesung diambil hari ini (semalam)’.

“Dan tadi, Fuza nonton video papa tanggal 22 Disember sore (petang), papa berenang sama om (pak cik) Bani dan Andi di kolam renang di tempat papa nginap (diami).

“Papa tersenyum ceria dan bahagia di hari itu, walaupun sesekali papa cuma duduk tersenyum dan banyak diam tersenyum.

“Dan di hari itu, papa terlihat putih dan bersih dari hari-hari biasanya. #alfatihah buat papa di sana,” tulisnya.

Mempunyai sebanyak 30,000 pengikut, perkongsian foto dimuat naik itu mendapat lebih 4,000 ‘likes’ dengan 60 komen berkaitan menguatkan semangat.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 6:49pm
d