rap

Peminat ikut Maya Karin swafoto berendam

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON jelita, Maya Karin, 39, tidak pernah menyangka swafoto berendam dalam sungai yang dikongsi di laman sosial mendapat perhatian warganet untuk memulakan cabaran #MayaKarinChallenge #RiverOfLive.

"Selepas dilantik sebagai duta River Of Live sempena projek Kementerian Wilayah Persekutuan, saya tukar foto profil di laman sosial sebab teringat pernah bergambar di sebuah sungai di Perak sekitar November tahun lalu.

"Tiba-tiba ada seorang peminat cuba meniru gaya saya bergambar dengan cara lucu dan berkongsinya di Twitter," katanya.

Dek foto lucu itu, Maya ketika dihubungi Harian Metro, berkata dia terus menulis kata-kata lucu sebagai memberi reaksi dan mengulang Tweet foto peminat itu sebagai gurauan.

Tanpa disangka, Tweet itu mendapat ribuan ulangan Tweet (Retweet) dan peminat mula mendapat ilham untuk berkongsi foto mereka berswafoto di sungai dengan tanda pagar #RiverOfLive, #SayangiSungaiKita dan #MayaKarinChallenge.

Pelakon filem Munafik 2 itu mendedahkan, Tweet pertama yang dimuat naik lima hari lalu berjaya mencapai lebih sejuta pengikut di Twitter dan jumlah keseluruhan termasuk pengikut di Instagram pula lebih dua juta capaian.

"Saya bukan saintis, profesional atau berpendidikan tinggi tetapi ada suara dan ingin meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar serta bagaimana ia sangat penting untuk masa depan dalam jangka masa panjang.

"Sebab kalau kita tidak menjaganya, bencana alam sekitar seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya akan kembali semula kepada kita.

"Saya mahu tanamkan benih kasih sayang terhadap alam sekitar kepada generasi muda kerana berfikir apabila masyarakat sudah dewasa dan matang, mereka pasti akan mengambil inisiatif sendiri untuk menjaga alam sekitar," katanya.

Maya mengakui walaupun cabaran #MayaKarinChallenge sudah tular, dia belum ada perancangan untuk melakukan projek lain pula pada masa depan.

Apatah lagi cabaran itu berlaku secara tidak sengaja dan disifatkannya sebagai kuasa Allah yang menggerakkan hati peminat untuk berkongsi.

"Apa yang saya lakukan tiada kaitan dengan perancangan pemasaran untuk promosi filem atau apa-apa pun.

"Pun begitu, saya ada beberapa idea dalam 'kepala' sekarang ini dan akan melaksanakan mengikut naluri saja," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 2:58pm
d