rap

Rezeki lagu Kata Hatiku

Oleh Ramlah Zainal

BAKAT nyanyiannya mula digilap selepas bergelar finalis pertandingan Bintang RTM pada 2004. Namun, entah di mana silapnya Rendy Faliq, 34, tidak menyerlah selepas lapan tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Namun, penantian penyanyi kelahiran Limbang, Sarawak ini berakhir selepas single pertamanya Kata Hatiku mencuri perhatian peminat selepas dijadikan lagu tema drama bersiri popular Lelaki Kiriman Tuhan untuk saluran Astro pada Oktober tahun lalu.

Selain Kata Hatiku, dua lagi lagu turut mewarnai drama bersiri itu iaitu Kisahku Inginkan dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Jika Aku Untukmu nyanyian Intan Sarafina.

Menurut pemilik nama sebenar Andy Baru Francis itu, dia bersyukur kesabaran dan kerja keras selama ini membuahkan hasil.

“Semuanya bermula apabila penerbit drama Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh memberitahu dia berminat menjadikan Kata Hatiku sebagai lagu tema drama bersiri popular Lelaki Kiriman Tuhan. Drama bersiri arahan Rashid Sibir itu menampilkan gandingan mantap Remy Ishak dan Mira Filzah.

“Alhamdulillah, semuanya bagai mimpi apabila Kata Hatiku mendapat sambutan memberangsangkan peminat,” katanya.

Rendy berkata, lagu Kata Hatiku adalah hasil ciptaannya sendiri manakala liriknya oleh D’niel Rayes. Ia juga mendapat sentuhan komposer Sharon Paul dan diterbitkan Hotsound Record.

“Saya ada mengikuti kelas vokal sebelum merakamkan lagu ini. Pada masa sama, saya turut menampilkan guru vokal Syamimi Mokhtar sebagai penyanyi latar sekali gus menguatkan lagi lagu ini,” katanya.

Pernah hidup merempat

Bergelar finalis Bintang RTM 2004 ternyata bukan laluan mudah untuk Rendy mendapat tempat dalam bidang nyanyian.

Siapa sangka jejaka ini melalui pelbagai pahit getir dan pernah berputus asa untuk meneruskan karier nyanyian.

“Selepas diberhentikan kerja sebagai penjawat awam, saya meneruskan karier nyanyian secara sepenuh masa.

“Sepanjang tempoh lapan tahun, pelbagai ujian dilalui untuk menyara hidup kerana kerjaya ini ada pasang surutnya.

“Antara peristiwa pahit yang sukar dilupakan, saya pernah dihalau keluar dari rumah sewa dan hidup merempat di kaki lima Jalan Bukit Bintang kerana masalah kewangan ketika itu,” katanya.

Malah, kata Rendy, dia pernah patah hati dan melupakan seketika hasratnya untuk menjadi penyanyi apabila pelbagai usaha untuk mendapat tempat dalam bidang nyanyian tidak berjaya.

“Sebenarnya, saya pernah menghasilkan beberapa lagu tetapi tidak yakin kualiti lagu itu mampu tarik perhatian pendengar.

“Berkat doa dan semangat daripada keluarga dan peminat, akhirnya lagu Kata Hatiku berjaya menaikkan nama saya. Ia jadi permulaan yang baik dan saya sangat bersyukur,” katanya

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 8:48am
d