rap

Ebby doa istiqamah dan sihat di Makkah

Oleh Norhayati Nordin

“SYUKUR alhamdulillah, Allah SWT mempermudahkan segala urusan ibadat umrah saya sepanjang berada di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini.

"Syukur sangat dapat beribadat dengan tenang dan istiqamah kerana Allah SWT menjaga tahap kesihatan saya sebaiknya.

"Alhamdulillah, saya tak demam atau diuji dengan sakit yang lain. Paling puas, saya dapat berjalan membuat tawaf hingga selesai," kata pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus, 55.

Terdahulu, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berangkat mengerjakan umrah ke Makkah bersama seorang kenalan pada 28 Januari hingga 8 Februari lalu.

Ditanya mengenai doa yang dipintanya, Ebby berkata, dia memohon supaya Allah SWT menjaga dirinya untuk sentiasa dalam istiqamah serta memberikan kesihatan yang baik.

Mengakui keterujaannya pertama kali melihat Kaabah depan mata, Ebby berkata, sukar untuknya mengungkap perasaan sebenar.

"Sebelum ini, saya lebih banyak mendengar perkongsian cerita orang saja, tapi bila diri sendiri diberikan Allah peluang yang besar ini, saya hanya mampu bersyukur.

"Dapat juga saya menjejak kaki ke Tanah Haram iaitu Madinah dan Makkah untuk mengerjakan umrah yang juga nikmat diberikan Allah SWT buat saya," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Ebby berkata, dia tidak menyangka masalah kesihatan dialaminya begitu mendapat perhatian rakyat Malaysia.

"Sungguh ramai rakyat Malaysia yang saya temui ketika umrah dan mereka begitu prihatin dengan keadaan kesihatan.

"Hati menjadi sayu dan hiba, apabila kebanyakan mereka yang ditemui memberitahu sudah mendoakan semoga kesihatan saya pulih kembali.

"Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan di atas titipan doa yang baik-baik ini. Saya juga ucapkan terima kasih atas kesudian menghulurkan sumbangan ikhlas," katanya.

Ebby yang memberitahu keadaan terkini kesihatannya agak stabil dijangka membuat pemeriksaan bersama doktor sekitar Mac ini.

Untuk rekod, berita mengenai keadaan kesihatan Ebby mendapat liputan meluas selepas dia memaklumkan menghidap masalah buah pinggang dan jantung yang dialami semakin serius hingga menyukarkannya bekerja.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 5:47pm
d