rap

Qody cekal ketengah bakat

Oleh Norhayati Nordin

GELARAN naib juara Mentor Milenia 2016 yang dimiliki bukanlah penanda aras yang boleh membuatkan Qody, 23, menarik nafas lega.

Ternyata, laluan anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah ini agak berliku untuk mengetengahkan bakat dan memahat namanya dalam bidang nyanyian.

Sudah tiga tahun berlalu, Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani yang kini mempunyai dua single masih terkial-kial mencari peluang.

Mengakui pernah mahu berputus asa, namun dia masih yakin bakat seni dimiliki ada peluang untuk diserlahkan lebih jauh.

Qody ketika ditemui berkata, dia harus melipatgandakan usaha kerana nasib setiap orang berbeza.

“Apabila melihat penyanyi lain yang seusia dengan saya sudah berjaya, dalam hati ini teringin juga mahu mengecap tuah seperti mereka.

“Bagaimanapun, berbalik kepada fitrah realiti, saya harus yakin urusan berkaitan rezeki ini adalah milik mutlak Allah SWT.

“Jadi, apa yang perlu saya lakukan ialah cekal hati, lipat gandakan usaha serta jangan sesekali cepat kecewa dalam pencarian mendapatkan lagu terbaik,” katanya.

Berbicara mengenai single kedua, Dia yang kini mula dimainkan di stesen radio, Qody memberitahu dia melihat ke arah positif.

“Semoga Dia akan membantu menyerlahkan bakat nyanyian saya lebih jauh. Ini kerana, melodi dan liriknya sangat menarik. Ia juga layak hingga ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 lalu yang juga satu pencapaian sangat bermakna buat saya.

“Apabila melihat dari sudut populariti, siapalah saya untuk berada di dalam senarai calon penyanyi lain yang bertanding itu,” katanya.

Menurut Qody, dia sangat puas kerana dapat mendendangkan lagu Dia dengan vokal yang mantap.

Katanya, sudah memadai penonton mampu menilai mutu vokalnya berbanding melihat aspek populariti yang agak jauh ketinggalan.

“Saya pernah bingung berfikir apabila melihat setiap usaha dilakukan untuk ketengahkan bakat nyanyian tidak mendapat perhatian stesen radio.

“Begitu sukar rasanya untuk menempatkan bakat dan nama walaupun bergelar naib juara dan muncul dengan single pertama, Biar Aku,” katanya.

Bekerjasama dengan penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz yang mencipta lagu itu, Qody berkata, Ippo memahami genre lagu sesuai dengan vokalnya.

Justeru, untuk perancangan single ketiga nanti Qody selesa bekerja dengan Ippo dan sedia meneruskan kerjasama mereka.

“Vokal saya nampaknya begitu sesuai dengan karya lagu ciptaan Ippo dan setakat ini dia (Ippo) adalah komposer pilihan saya,” katanya.

Ketika bersaing dalam Mentor Milenia 2016, Qody adalah protege kepada Black Hanifah.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 12:12pm
d