rap

'Apahal saya 'kaki sondol' pula?'

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Faezah Elai kesal dengan sikap segelintir netizen yang mempertikaikan keikhlasannya menjaga anak-anak tiri yang tinggal bersamanya sejak tujuh tahun lalu semata-mata kerana dia tidak memuat naik gambar bersama mereka di Instagram.

Faezah ketika dihubungi berkata, dia tidak memuat naik gambar bersama anak-anak tiri kerana banyak hati yang perlu dijaga.

“Saya juga seorang ibu dan tahu bagaimana rasanya apabila melihat anak-anak kita bersama orang lain terutama ibu tiri,” katanya.

Menurut isteri pengarah drama popular Heykal Hanifah ini, dia bukanlah seorang yang suka menunjuk-nunjuk kebahagiaan keluarganya kepada orang lain.

Faezah berkata, dia ada alasan tersendiri untuk tidak melakukan perkara itu.

“Anak-anak tiri tinggal bersama saya sejak tujuh tahun lalu dan saya bersama suami turut uruskan makan, pakaian dan persekolahan mereka. Dalam masa sama, ibu kandung mereka turut menjaga mereka. Pendek kata, ia bukan masalah kerana kami bersama-sama menjaga anak,” katanya.

Faezah berkata, dia juga tidak mahu memuat naik video dia menjaga anak tiri di laman sosial untuk mendapat pujian.

“Pujian boleh membuat kita riak apabila berasa seronok dipuji. Saya sibuk memasak, menghantar anak ke sekolah, kelas tambahan dan termasuk menjalani penggambaran drama. Jadi, saya tiada masa untuk merakam video bersama mereka untuk dimuat naik di Instagram,” katanya.

Menurut Faezah, dia juga tidak kisah mengorbankan kerjaya lakonan demi membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin.

Terdahulu, Faezah memuat naik status kesal dengan sikap netizen mempersoalkan keikhlasan dirinya menjaga anak-anak tirinya di laman Instagram.

Faezah berkata, dia turut menerima Direct Message (DM) di Instagram yang menuduhnya sebagai seorang ‘kaki sondol’.

“Kalau saya pengacau laki orang ‘kaki sondol’, pasti ibu kandung mereka tidak akan benarkan anak-anaknya tinggal bersama saya? Ibu mana yang akan membenarkan anak-anak mereka tinggal dengan ibu tiri jika perangainya macam ‘setan’?” katanya.

Namun, Faezah tidak menyalahkan netizen yang beranggapan sedemikian.

“Mereka tidak tahu apa-apa kerana hanya pandai buat dosa kering saja. Apa yang saya lakukan untuk keluarga adalah kerana Allah dan bukan untuk memuaskan hati semua orang. Apa saja persepsi orang mengenai saya bukan urusan saya,” katanya.

Terdahulu, Faezah memuat naik status berasa kesal dengan netizen yang mempersoalkan keikhlasan dirinya menjaga anak-anak tirinya di laman Instagram.

Faezah berkahwin dengan Heykal pada September 2011 dan memiliki dua anak, Dealova Heyrinna, 6, dan Aurora Heyrinna, 4.

Hasil perkahwinan terdahulu, Heykal turut memiliki tiga anak iaitu Luqman Hakim, 19; Sarah, 15; dan Luq Adam, 10.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 1:17pm
d