rap

'Belum tahu punca sakit'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“PAGI tadi abang Atan buat imbasan (scan) buah pinggang. Doktor nak tengok sekiranya buah pinggang abang ada masalah atau sebagainya.” Demikian perkongsian Norizan Yeob, atau Izan, 55, isteri kepada komposer terkenal, S Atan berkenaan perkembangan terkini suaminya.

Semalam, S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 70, dimasukkan ke Hospital Kajang selepas mengalami cirit-birit serta muntah sebaik pulang dari Melaka atas urusan kerja.

Izan berkata, suaminya sudah mengalami simptom itu sejak Jumaat lalu.

“Kemungkinannya ia berpunca daripada silap makan dan bukan terjadi ketika dia di Melaka.

“Bagaimanapun abang Atan enggan melayan sakitnya dan berharap pulih dengan sendirinya.

“Dia mula muntah pada Sabtu,” katanya.

Menurut Izan lagi, setakat ini doktor belum dapat mengesahkan punca sebenar penyakit suaminya.

“Sebelum ini pun abang Atan ada rekod kesihatan yang kurang bagus kerana ada angin ahmar.

“Doktor memang akan pantau kerana bimbang dia akan jatuh pada bila-bila masa apabila keadaannya lemah akibat tekanan darah yang terlalu rendah.

“Dia cenderung untuk dapat darah beku kerana pernah kena angin ahmar. Itu antara perkara yang ditakuti terjadi,” katanya.

Izan berkata, muka suaminya nampak segar namun masih lemah untuk berjalan.

“Abang Atan sudah boleh makan tapi bukanlah terlalu banyak kerana masih dalam proses pemulihan.

“Dia dimasukkan ke Hospital Kajang kerana ada rekod perubatan di sini.

“Setiap tiga bulan dia pasti akan membuat pemeriksaan secara berkala,” katanya.

Dalam pada itu, Izan memberitahu suaminya tidak betah duduk diam memikirkan soal kerja.

“Ikutkan Abang Atan akan terbabit dengan satu program bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Sabtu nanti.

“Dalam pada terbaring begini, ada juga pihak yang memintanya menghasilkan lagu raya.

“Selain itu, abang Atan juga menjadi pensyarah muzik di Kolej Teknologi Alpha, Seremban 2 dan terpaksa bercuti untuk minggu ini,” katanya.

S Atan sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit angin ahmar.

Beliau terkenal kerana menghasilkan lagu genre Melayu Deli yang amat popular pada era 80-an.

Karya ciptaannya pernah dinyanyikan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noorkumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 9:30pm
d