rap

Tiket habis tak sampai 24 jam

Oleh Rudy Imran Shamsudin

TIKET konsert penyanyi popular Dayang Nurfaizah yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 Julai ini habis dijual dalam tempoh tidak sampai 24 jam sejak mula dijual pagi semalam.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang juga penganjur konsert berkata, tiket berharga RM125 dan RM695 habis terlebih dulu habis dijual.

Menurutnya, sebaik saja jualan tiket atas talian dibuka pagi semalam, tempahan dibuat peminat tanpa henti dan pada jam 6 petang semalam tiket hanya berbaki 20 keping saja.

"Kami sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku memandangkan konsert ini akan berlangsung hanya satu malam dan tempat duduk juga terhad. Itupun ada peminat sedang berurusan untuk mendapatkan baki tiket," katanya.

Shirazdeen berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan itu dan sambutan hangat diberikan peminat Dayang terhadap konsert bagi meraikan pembabitan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu dalam industri muzik tempatan selama dua dekad.

Promosi konsert Dayang turut mendapat sokongan beberapa artis tempatan apabila turut memuat naik poster jualan tiket Konsert Dayang Dua Dekad di laman sosial masing-masing antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Perkara itu dilakukan atas #supportlocalmusic di mana kempen itu dimulakan oleh Dayang sendiri yang sebelum ini banyak membantu mempromosikan konsert artis tempatan lain.

Ternyata kempen sokongan dilakukan sesama rakan artis banyak membantu menggerakkan industri muzik tempatan.

Sementara itu, Dayang ketika dihubungi terharu dengan sambutan diberikan peminatnya dan tak menyangka tiket konsert berkenaan cukup laris.

“Pada mulanya, saya bimbang jualan tiket akan perlahan memandangkan harganya agak tinggi. Alhamdullilah, sambutan hangat menjadi pembakar semangat untuk saya mengadakan persembahan terbaik," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 6:29pm
d