rap

10 pemenang Oscars kulit hitam

Oleh Ardini Sophia Sina

Academy Awards atau Oscars adalah anugerah berprestij yang tidak hanya dinantikan penggiat seni tetapi juga peminat di seluruh dunia.

Mana-mana pelakon yang menjulang trofi pasti dipandang tinggi kerana nilai kemenangan itu sangat besar.

Pada 2015, Oscars mencetuskan kontroversi apabila tidak ada seorang pun pelakon kulit hitam dicalonkan dalam mana-mana kategori.

Ia sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak terutama dalam kalangan penggiat seni kulit hitam hingga mewujudkan hashtag #oscarssowhite.

Situasi itu tidak hanya menarik perhatian peminat, malah beberapa selebriti antaranya Jada Pinkett Smith, David Oyelowo dan Spike Lee kecewa dengan situasi berkenaan.

Apa yang pasti, Academy Awards ke-91 yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 24 Februari ini pastinya dinanti-nantikan.

Tambahan pula, dua pelakon kulit hitam Mahershala Ali dan Regina King masing-masing dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Berikut adalah 10 pemenang Oscars dalam kalangan pelakon kulit hitam:

1. Sidney Poitier

Pada 1963, Sidney Poitier yang kini berusia 92 tahun mengubah sejarah apabila menjadi pelakon kulit hitam berketurunan Afrika-Amerika pertama memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Lilies of the Field membawa watak sebagai Homer Smith.

Dia menjulang trofi itu pada usia 37 tahun sekali gus menjadikannya sebagai pelakon lelaki kulit hitam paling muda memenangi anugerah itu.

2. Denzel Washington

Pelakon ini cukup terkenal di seluruh dunia antaranya menerusi filem seperti The Bone Collector, The Book of Eli, Safe House, Flight, 2 Guns dan The Magnificent Seven. Tidak hanya di layar lebar, Denzel turut berlakon dalam beberapa siri televisyen serta teater.

Karier seni Denzel terus bersinar apabila memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada 1989 menerusi filem Glory.

Malah, kehebatannya terus diiktiraf apabila menjadi pelakon kulit hitam kedua menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada 2001. Bakatnya dinilai menerusi filem Training Day melakonkan watak Detektif Alonzo Harris.

Namanya juga terpahat sebagai pelakon Afrika-Amerika pertama yang dicalonkan dua tahun berturut-turut dan paling banyak pencalonan iaitu enam kali bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan dua kali Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

3. Jennifer Hudson

Dia boleh berbangga apabila berjaya menggenggam trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 2006 menerusi filem Dreamgirls.

Ketika itu, dia baru saja berusia 25 tahun sekali gus menjadikannya pelakon kulit hitam termuda menerima anugerah di pentas gemilang dan berprestij itu. Pastinya ia adalah kenangan berharga buat pelakon berkenaan.

Pemilik nama sebenar Jennifer Kate Hudson adalah peserta pertandingan American Idol pada 2004. Antara filem yang dilakonkannya adalah Sex and the City, Chi-Raq dan Monster.

4. Lupita Nyong’o (2013)

Anak kepada ahli politik Kenya, Lupita Nyong’o semakin menjadi sebutan selepas muncul dalam filem Black Panther. Dia pelakon kulit hitam dari Kenya pertama yang menerima pencalonan pada anugerah berkenaan.

Menerusi lakonan­nya dalam filem 12 Years a Slave, wanita itu dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 2013.

Lupita memulakan kembara seni sebagai kru produksi filem pada 2005. Pengalaman itu membuatkan wanita berusia 35 tahun ini berminat untuk mencuba nasib sebagai pelakon.

Filem 12 Years a Slave membuka laluannya untuk terus terbang tinggi sebagai pelakon. Malah, semakin ramai pengarah yang percaya dengan bakatnya.

5. Halle Berry

Wanita jelita ini sekali lagi mencatat sejarah bagi pelakon kulit hitam apabila menjadi wanita

pertama Afrika-Amerika yang memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada 2001 menerusi filem romantik berjudul Monster’s Ball.

Pada 2001, Oscars mencatat pencapaian baru apabila Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi pelakon kulit hitam yang dimenangi Denzel Washington.

Halle adalah antara pelakon yang menerima bayaran tinggi di Hollywood sejak 2000. Dia

cukup terkenal dengan wataknya sebagai Ororo Munroe atau Storm menerusi filem francais X-Men dan Catwoman.

6. Louis Gossett Jr

Pada 1982, Louis Gossett Jr menjadi pelakon kulit hitam pertama memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem An Officer and a Gentleman.

Gossett juga membintangi beberapa filem besar antaranya The Landlord, Skin Game, Travels with My Aunt, The Laughing Policeman, The Deep, Iron Eagle dan The Punisher.

7. Morgan Freeman

Beliau pelakon, produser dan pencerita. Dia memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Million Dollar Baby pada 2005.

Morgan juga pelakon veteran Afrika-Amerika pertama yang menang Pelakon Pembantu Terbaik pada usia 67 tahun.

Morgan berlakon dalam banyak filem pecah panggung antaranya Glory, Robin Hood: Prince of Thieves, Seven, Deep Impact, The Sum of All Fears, Bruce Almighty dan The Dark Knight Trilogy.

Mempunyai vokal yang berkarisma, Morgan menjadi pencerita, pengulas dan pelakon suara untuk pelbagai program, siri dan rancangan televisyen.

Dia menduduki tempat kelima dalam senarai pelakon bertaraf ‘superstar’ apabila kebanyakan filem lakonannya berjaya mencatat jumlah kutipan kasar pecah panggung yang tinggi.

8. Cuba Gooding Jr

Dia menjadi pelakon kulit hitam pertama me­nerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada usia muda iaitu 29 tahun. Cuba menjulang trofi itu menerusi filem Jerry Maguire pada 1996. Dia bagaimanapun hanya mula mendapat perhatian selepas berlakon dalam filem Men of Honor dan Pearl Habor.Dilahirkan di The Bronx, New York pada 2 Januari 1968, Cuba pernah menjadi vokalis untuk kumpulan The Main Barbados.

Pada 1972, mereka sekeluarga berpindah ke Los Angeles.

Cuba pernah menjadi penari ‘breakdance’ untuk persembahan Lionel Richie pada majlis penutup Sukan Olimpik Los Angeles pada 1984.

9. Mahershala Ali

Dilahirkan pada 16 Februari 1974, Mahershalalhashbaz Gilmore atau Maheshala Ali adalah pelakon Afrika-Amerika beragama Islam pertama yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada 2016.

Kemenangan itu adalah hasil daripada lakonannya sebagai Juan dalam filem Moonlight.

Tahun ini, karier Ali

terus cemerlang apabila sekali lagi dicalonkan untuk kategori sama mempertaruhkan filem Green Book dengan wataknya sebagai Don Shirley.

Ali turut berlakon dalam filem The Hunger Games: Mockingjay bahagian satu dan dua. Malahan, dia juga membintangi The Curious Case of Benjamin Button, Predators dan Hidden Figures.

10. Jamie Foxx

Jamie Foxx adalah pelakon Afrika-Amerika pertama yang mendapat pencalonan dalam Academy Awards pada tahun sama.

Pada 2004, Jamie dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.Walaupun tidak memenangi kedua-dua kategori itu, Jamie bagaimanapun tetap berpuas hati kerana lakonannya menerusi filem Ray membuatkan dia berjaya menjulang trofi kategori idaman ramai itu. Sebelum menjadi pelakon yang berjaya, Foxx terlebih dulu berjinak-jinak dengan dunia komedi pada 1989 dengan mencuba nasib di sebuah kelab

komedi menyahut cabaran daripada teman wanitanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 5:43pm
d