rap

5,000 penonton meriahkan konsert akhir Altimet

Oleh Syanty Octavia Amry

LEBIH 5,000 penonton hadir menyaksikan konsert The Last Altimet Show diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert dimulakan dengan tayangan klip video berkisar perjalanan awal karier seni Altimet dan diikuti dengan lagu Bersamamu duet bersama Cuurly.

Persembahan bermula kira-kira 8.45 malam itu diserikan dengan kehadiran 20 artis antaranya Aizat Amdan, Noh Salleh, Illa Damia dan ramai lagi.

Altimet ketika ditemui selepas konsert berkata, dia gembira dan terharu kerana konsert terakhirnya pada malam itu berjalan dengan lancar.

Baginya, konsert terakhir ini adalah yang terbaik daripadanya untuk peminat.

"Alhamdulillah saya gembira kerana tiket habis terjual pada saat akhir. Ramai peminat datang menyaksikan konsert dan saya anggap mereka semua adalah kawan yang datang menyokong saya.

"Saya gembira kerana hasrat untuk mengadakan konsert di PWTC terlaksana kerana ia adalah salah satu impian saya," katanya.

Sebanyak 26 lagu dipersembahkan antaranya Cantik, Alamak, Mambang, Havoc, Bunga, Amboi, Kalau Aku Kaya, Negaraku dan banyak lagi.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 1:07am
d