rap

Kekasih ke kenalan Irfan?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TINDAKAN penyanyi Irfan Haris memuat naik gambar bersama wanita dikenali sebagai Farisha Iris berserta keterangan romantis mengundang persoalan dalam kalangan peminat dan pengikutnya di Instagram hingga ada beranggapan mereka sudah bertunang.

Malah tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa atas perkongsian Irfan itu.

Namun, Irfan, 18, atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman ketika dihubungi menafikan perkara itu sebaliknya mengakui antara mereka sekadar kawan biasa.

"Mana ada bertunang. Dia juga bukan kekasih saya. Kami hanya kawan dan kenalan sejak Idola Kecil.

“Kebetulan, semalam saya menghadiri majlis perkahwinan kakaknya. Jadi, saya ajak bergambar di pelamin.

"Kapsyen itu pula adalah lirik lagu terbaru saya bersama kakak, Amira Othman berjudul Sambil. Saya saja letakkan kapsyen itu pada gambar berkenaan. Sebenarnya, ia tak ada kaitan pun," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Irfan menegaskan dia masih solo dan belum terfikir soal untuk bercinta atau mencari kekasih.

"Saya tidak terfikir lagi nak bercinta. Lagi pula tidak ada siapa mahukan saya. Kalau nak bercinta mungkin lambat lagi.

"Saya masih muda dan ingin fokus pada kerjaya. Ibu bapa dan kakak tidak pernah larang pun, tapi ini atas diri sendiri," katanya.

Menurutnya, pendekatan dibuat lebih kepada mahu mempromosikan single duet itu yang bakal dilancarkan minggu depan serentak dengan tayangan drama Jodoh Jodoh Annisa di saluran Astro Prima.

"Tujuan saya nak mempromosikan lagu baru. Tidak menjangka pula ramai yang salah faham. Tapi, tidak mengapa sekurang-kurangnya peminat boleh 'alert' perkara ini.

"Saya teruja sebab lagu baru ini akan menjadi lagu tema drama bersiri panjang. Apatah lagi ia juga lagu duet pertama bersama kakak hasil ciptaan abang saya iaitu Haiqal Iskandar," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 4:16pm
d