rap

Raut ceria sambut kunjungan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BIARPUN berdepan persaingan hebat dengan kemunculan ramai muka baru, pelakon Riz Amin, 34, beruntung kerana masih mampu mengekalkan namanya dalam radar dunia lakonan tanah air.

Sejak mencuba nasib sebagai pelakon pada 2004, Riz berusaha gigih menempuh pelbagai ujian dan halangan sehingga berjaya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Oleh itu, tidak salah apabila pelakon yang hangat menjadi sebutan menerusi watak Ditto dalam drama bersiri Selafaz Cinta yang bersiaran di Astro Prima itu, mensyukuri nikmat yang dikecapinya.

Baru-baru ini, Riz dan rakannya, pelakon Adeline Tsen turun padang melakukan kerja amal menyantuni golongan kurang bernasib baik di sekitar bandar Klang.

Mereka meluangkan masa berkunjung ke empat lokasi terpilih iaitu Good Samaritan Home, Noble Care Centre, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang Selangor dan The Boaz Field.

Kunjungan mereka yang disertai sukarelawan dari viuu_technology mendapat sambutan baik daripada penghuni di semua lokasi terbabit.

Cuaca panas bukan alasan untuk mereka melakukan aktiviti dirancang.

Sejak awal pagi konvoi mereka sudah bergerak dan kerja amal selesai sepenuhnya menjelang jam 4 petang.

Riz melahirkan rasa gembiranya kerana perancangan yang diatur berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya seronok dengan sambutan mesra yang diberikan. Paling tak boleh lupa ialah raut keceriaan mereka apabila menerima kunjungan kami.

“Mereka amat menghargai apa yang kami buat dan berharap akan ada ramai lagi berkunjung sebagai tanda prihatin terhadap nasib mereka,” katanya.

Riz berkata, program amal itu ditaja Myviuu Sdn Bhd, sebuah syarikat pengiklanan yang baru ditubuhkan.

“Saya bekerjasama dengan syarikat ini dan dilantik sebagai pengurus projek sejak hujung tahun lalu.

“Tugas saya mengendalikan segala projek yang ada dalam syarikat tak kira dalam bentuk pengiklanan ataupun acara.

“Sebelum ini kami pernah buat kerja amal, tapi tidak sebesar kali ini. Kami lebih terarah mencari rumah anak yatim piatu, orang cacat dan sebagainya,” katanya.

Riz beruntung kerana Ketua Pengawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Keyoon Song dan isterinya, Datin Joey amat ‘sporting’ dan menggalakkan usaha itu dibuat berterusan.

“Tuhan mempertemukan saya dengan mereka. Saya memang mencari syarikat pengiklanan untuk bekerjasama.

“Kebetulan pejabat isteri bersebelahan pejabat Myviuu dan saya diperkenalkan dengan pemilik syarikat oleh pengawal peribadinya.

“Daripada situ kami berbincang. Dia tertarik dengan pelan pemasaran yang saya bentangkan dan akhirnya terjalin kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, pelancaran syarikat itu dibuat secara rasmi dan besar-besaran pada Mac ini sebuah pusat beli-belah terkenal di Shah Alam.

“Aktiviti amal yang dibuat pun sebagai serampang dua mata untuk memperkenalkan syarikat ini.

“Kami akan buat aktiviti ini secara berkala. Untuk tahun ini pun ada beberapa aktiviti serupa akan dibuat.

“Saya juga akan mengajak beberapa artis lain turut serta. Buat masa ini hanya Adeline diajak dan dia setuju bersama kami dalam program ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 10:59am
d