rap

Angah tunggu tiga tahun

Oleh Norhayati Nordin

"SELEPAS tiga tahun bersabar menunggu kehadiran cahaya mata, akhirnya Allah kurniakan Aisyah buat kami,” kata pelakon dan pelawak popular, Angah yang dikurniakan cahaya mata perempuan, Sabtu lalu.

Angah, 40, yang juga penyampai Sinar FM berkata, kehadiran Aisyah juga amat bermakna kerana dia dan isteri, Amira Asyura Abdul Razak, 23, akan menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan mereka esok.

Aisyah dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Serdang, Selangor jam 4.25 petang dengan berat 2.6 kilogram.

Angah atau nama sebenar Iskandarshah Hashim bertemu jodoh kali kedua bersama Amira pada 19 Februari 2016.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Angah sudah mempunyai seorang anak perempuan, Nurina Fasya, 16.

Bercerita mengenai mengenai kelahiran Aisyah, Angah berkata dia dan isteri tidak kisah apa jantina anak mereka asalkan bayi lahir dengan selamat dan sihat.

"Setakat ini, kami panggil bayi dengan panggilan Aisyah saja kerana nama penuhnya belum diputuskan lagi. Sejak Aisyah masih masih dalam kandungan, saya dah biasakan nama Aisyah itu sebagai panggilan," katanya.

Bercakap mengenai urusan penjagaan tempoh berpantang isterinya, Angah berkata, Amira mendapat tajaan penuh dari sebuah agensi yang mengendalikan pengurusan berpantang.

"Rezeki Aisyah dan Amira, pembabitan saya sebagai penyampai radio nampaknya lebih murahkan rezeki kami sekeluarga. Malah, anak saya Nurina Fasya yang tinggal bersama juga boleh membantu isteri dan menjaga Aisyah ketika saya keluar bekerja," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 2:56pm
d