rap

Sebak kenangkan Saleem di sambutan hari jadi

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA sebak kerana tidak pernah menyambut hari jadi atau menerima ucapan hari lahir daripada arwah ayah sejak kecil,” kata penyanyi Syafiq Farhain.

Syafiq ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 bersama kelab peminatnya, SFFC di Subang Jaya, baru-baru ini.

Syafiq berkata, dia pernah menyimpan impian untuk meraikan hari jadi bersama arwah bapanya iaitu penyanyi legenda Saleem tetapi nampaknya ia tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya.

“Sebagai anak pastinya saya berharap dapat menyambut hari jadi bersama arwah ayah hari ini. Walaupun ibu sudah berkahwin semula ketika saya berusia 10 tahun, tetapi perasaan dan kasih sayang seorang bapa kandung tidak sama,” katanya.

Menurut Syafiq, dia sukar menahan sebak apabila mendengar lagu arwah bapanya dimainkan pada malam sambutan hari jadinya itu.

“Sebenarnya, saya juga tidak tahu mengenai kejutan majlis hari jadi yang dirancang kelab peminat ini. Saya berasa mahu menangis apabila mendengar suara arwah dan melihat gambar kenangan kami bersama yang dipaparkan sekali khusus untuk sambutan hari jadi itu,” katanya.

Menurut Syafiq, setiap kali mendengar lagu arwah bapanya, dia akan teringat kenangan ketika bersama dengannya.

Saleem meninggal dunia pada 14 Oktober tahun lalu pada usia 57 tahun selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 5:24pm
d