rap

Badul makin stabil

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"TERIMA kasih kerana masih ingat saya," kata pelakon, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul, 70, kepada semua individu yang datang melawatnya di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam dan hari ini.

Isterinya, Maizatul Osman, 39, ketika dihubungi berkata, suaminya gembira dan kini dilaporkan stabil.

Dalam masa sama, Maizatul berkata, suaminya bakal menjalani satu lagi prosedur pembedahan Angioplasty dan Stenting akibat masalah salur darah di jantung tersumbat.

"Alhamdulillah, abang (Badul) sedang berehat. Dia dalam keadaan stabil. Doktor pun sudah buat pemeriksaan dan abang dijangka dipindahkan ke wad biasa.

"Cuma, nanti, abang masih dalam pemantauan. Seperti dimaklumkan, abang juga perlu menjalani satu lagi prosedur sama. Bila akan dibuat, belum dapat dipastikan lagi.

"Abang berasa terharu apabila pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) datang semalam.

“Petang tadi, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Kanaga, Colin Edmunds dan Datuk Zahid Md Arif iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri datang melawat abang. Terima kasih banyak," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Badul dimasukkan ke CCU jam 4 petang kelmarin akibat masalah salur darah di jantung tersumbat.

Menerusi laporan sama, Badul selamat menjalani prosedur Angioplasty dan Stenting.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah air (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, Badul menunjukkan reaksi positif dan kelihatan ceria.

"Ketika melawat Badul, dia sangat riang. Dia sempat lagi buat lawak. Kami ketawa tak berhenti.

"Walaupun masih belum sembuh sepenuhnya, tetapi dia sangat positif. Malah, dia boleh cakap prosedur yang dibuat kelmarin tidak sakit.

"Apa pun, marilah sama-sama kita mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Badul," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 5:34pm
d