rap

DFKL 2019 suntik elemen kelainan

Oleh Ramlah Zainal

BERTEMAKAN Positif Selalu, penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang memasuki tahun keenam diteruskan dengan memperkenalkan pelakon Izzue Islam dan Janna Nick sebagai duta DFKL 2019.

DFKL kali ini terus menyediakan program sesi uji bakat, siri jelajah, sesi kongsi idea, pertandingan drama pendek dan undian atas talian yang dibuka untuk orang ramai serta diakhiri dengan kemuncak Malam Anugerah DFKL 2019.

Komponen DFKL 2019 seperti sesi kongsi idea dan pertandingan drama pendek khususnya juga menyelami tema ‘Realiti Dunia Sebenar Media Sosial’.

Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan (TV3 & TV9), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nazri berkata, beberapa pembaharuan juga dibuat bagi menyuntik elemen kelainan.

Katanya, DFKL 2019 mengetengahkan beberapa pembaharuan dalam memartabatkan dunia seni lakonan tanah air.

“Antaranya pembaharuan pada bengkel dianjurkan yang kini hanya terbuka untuk 10 hingga 20 peserta uji bakat siri jelajah DFKL 2019.

“Dengan hanya memfokuskan kepada kumpulan kecil ini, kami boleh terapkan lebih banyak ilmu secara lebih dekat.

“Bakat baru juga akan disaring berdasarkan komitmen, disiplin, keyakinan dan minat mereka untuk ke peringkat seterusnya,” katanya dalam taklimat media DFKL 2019 di Theatrette, Balai Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai tema, kata Siti Nurlisia, pihaknya juga memperkenalkan tema ‘Realiti Dunia Media Sosial’ sebagai tunjang sesi kongsi idea DFKL 2019 dan juga pertandingan drama pendek.

“Tema ini bertepatan dengan situasi alam digital kita yang tidak jauh daripada kecam-mengecam antara satu individu ke satu individu.

“Ia diangkat bersesuaian dengan tema utama DFKL 2019. Perubahan lain yang ketara adalah pengenalan kategori Drama Rantaian Bahasa Cina dalam Malam Anugerah DFKL 2019.

“Kami teruskan kategori ini sejak diperkenalkan pada Anugerah Skrin 2018, tahun lalu kepada DFKL tahun ini demi memartabatkan karya tempatan Bahasa Cina,” katanya.

Siri Jelajah DFKL 2019 juga akan membabitkan komitmen barisan pengarah dan penerbit terkenal selaku juri serta ahli panel sesi uji bakat dan sesi kongsi seperti Heykal Hanifah, Datuk A Aida, Along Kamaludin dan Erma Fatima.

Mereka turut disertai oleh Ashraf Muslim dan Fasha Sandha sebagai ahli panel dan juri jemputan.

Selain itu, bengkel DFKL 2019 tidak lagi dibuka untuk khalayak ramai seperti tahun lalu.

Bengkel DFKL 2019 juga berkonsep tertutup khas bagi 20 bakat yang disenarai pendek melalui sesi uji bakat di kesemua Siri Jelajah DFKL 2019.

Ia akan berlangsung pada 22, 23, dan 24 Mac nanti bersama tenaga pengajar hebat seperti Erma Fatima, Shahrulezad dan Datuk Rosyam Nor.

DFKL 2019 akan menutup tirainya dengan Malam Anugerah DFKL 2019 pada 7 April nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dan undian dibuka di laman sesawang www.dfkl.com.my sejak 1 Februari lalu hingga 25 Mac depan.

Kategori yang dipertandingkan seperti Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Lagu Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan dan Drama Rantaian Bahasa Cina.

Selain itu, pertandingan Drama Pendek DFKL juga dikekalkan pada tahun ini, di mana tempoh penyertaan masih lagi dibuka hingga 1 Mac ini.

Pemenang pertandingan akan diumumkan pada Malam Anugerah DFKL 2019 dan bakal membawa pulang sejumlah daripada hadiah wang tunai RM18,000.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 6:53pm
d