rap

Ingat pesan Eman Manan

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Menjadi anak saudara kepada pelakon legenda, Eman Manan bukan tiket mudah buat pendatang baru, Fad Anuar, 30, meluaskan bakat dalam bidang lakonan.

Fad berkata, tidak ramai yang mengetahui dia anak saudara Eman dan hanya akan maklumkan jika mereka bertanya.

“Saya tidak mahu menggunakan namanya untuk dapat peluang berlakon. Ketika Eman dapat tahu saya menceburi bidang lakonan, dia tidak yakin saya boleh lakukannya kerana berasakan saya hanya mahu bersilat saja,” katanya.

Fad berkata, Eman hanya memberi sokongan selepas melihat dia serius bertanya mengenai lakonan.

Katanya, bapa saudaranya itu meninggalkan beberapa pesan yang dipegang sehingga hari ini.

“Dia berpesan kita mestilah cuba menguntungkan produser dan jangan menyusahkan pihak produksi. Satu lagi, dari segi watak pula tidak perlu mencari watak mencabar sebaliknya cabarlah watak yang ada di situ.

“Dua pesanan itu saya pegang dan ia memberi saya pandangan berbeza untuk bergelar pelakon yang serius,” katanya.

Fad berkata, dia memang sangat rapat dengan Eman kerana beranggapan hanya dia saja saudara yang ada di Kuala Lumpur kerana adik-beradiknya menetap di kampung.

Mungkin disebabkan terbabit dalam bidang sama, mereka boleh bercakap mengenai lakonan dan ilmu persilatan.

Jejaka berasal Kemaman, Terengganu ini akan berusaha dengan cara sendiri untuk mendapat tempat sebagai pelakon bagi mengikut langkah bapa saudaranya itu.

Katanya, dia bermula sebagai jurulatih silat untuk babak pertarungan dalam filem Balun, enam tahun lalu.

Menurut Fad, walaupun lakonan adalah bidang nombor satu diminati, dia cuba fokus kepada aksi kerana hampir tiada pelakon yang mahu melakukannya.

“Kalau nak diikutkan tidak ramai pelakon ada asas seni bela diri. Bagi saya, pelakon perlu bijak dan kena tahu mengenai geografi, sejarah dan sedikit sebanyak seni bela diri. Ia penerapan sejak nenek moyang dan kita kena ada identiti itu,” katanya.

Disebabkan minat dalam bidang lakonan, Fad sanggup meninggalkan pekerjaan tetap di Pelabuhan Kuantan walaupun ketika itu dia baru berlakon sebuah filem.

“Ibu merajuk kerana saya berhenti kerja. Dia sedih saya ‘mengorbankan’ kerja tetap semata-mata kerana mahu menjadi pelakon sepenuh masa.

“Pada awalnya memang mencabar. Selepas berlakon dalam filem Balun, saya menganggur hampir tiga bulan kerana tiada tawaran berlakon.

“Jadi, saya berusaha menghadiri uji bakat dan dapatlah satu dua tawaran berlakon iklan dan video tular dengan bayaran kecil yang cukup-cukup makan,” katanya.

Kini, pengorbanan dan usahanya selama tiga tahun mulai menunjukkan hasil apabila diberi peluang berlakon dalam pelbagai genre seperti watak penjahat, komedi dan aksi.

Antaranya drama Marhaban Kome Oi, Lip Lap Raya, Dia Anak Jeneral, Puaka Pak Selar dan Cinta Bunga Lalang.

Terkini, dia bakal muncul memegang watak utama dalam filem aksi persilatan berjudul Geran arahan pengarah baru, Areel Abu Bakar.

“Ketika terbabit dalam projek lakonan semula kisah Leftenan Adnan, Areel menawarkan saya berlakon dalam filem pertama arahannya.

“Sebaik saja dia cakap mahu buat filem berkaitan silat, saya terus bersetuju tanpa banyak soal dengan hati yang terbuka,” katanya.

Katanya, walaupun filem yang dijangka ditayangkan tahun ini itu berbajet kecil saja, dia akui ia bukan peluang yang akan datang berkali-kali.

Dia percaya pada kredibiliti pengarah yang mempunyai latar belakang serta ilmu silat.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 9:14am
d