rap

Pereka fesyen jual suara

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TAHUN ini genap sembilan tahun pembabitan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail dalam bidang rekaan fesyen.

Bagi mencipta kelainan sekali gus ingin mengukuhkan jenama dibina, Ezuwan, 37, atau nama sebenarnya Mohd Ezuwan Ismail membuat sesuatu di luar kotak fikiran seorang pereka fesyen iaitu tampil sebagai penyanyi.

Tidak bersendirian, sebaliknya Ezuwan yang juga bapa kepada dua cahaya mata memilih bergerak secara berkumpulan atau trio yang dikenali sebagai E1.

E1 yang ditubuhkan secara rasmi pada November tahun lalu turut dianggotai Mohammed Noor Ariff Imran, 25, (Ariff Imran) dan Zulyasrani Zaulyaddin, 31, (Zulyasrani).

Penubuhan E1 itu, sekali gus menjadikan Ezuwan pereka fesyen pertama tanah air yang menjadi penyanyi.

Ezuwan berkata, usahanya untuk menjadi penyanyi adalah sebagai percubaan mengembangkan bakat yang dirasakan ada sejak dulu.

“Saya suka menyanyi sejak sekolah, cuma tidak ada peluang untuk berkongsi bakat dan minat dengan orang ramai.

“Bagaimanapun, semangat bergelar penyanyi tidak pernah padam, malah ia semakin berkobar-kobar sehingga nekad untuk mewujudkan trio ini

“Di Malaysia dan mungkin seluruh dunia, saya mungkin pereka fesyen pertama menjadi penyanyi. Jadi, saya ingin menyahut cabaran itu. Saya anggap ini percubaan berkongsi sedikit bakat, sekali gus mencipta sejarah peribadi pereka fesyen menjadi penyanyi,” katanya.

Tidak hanya memperkenalkan trio itu, E1 turut melancarkan single dan video muzik berjudul Semalam Sahaja baru-baru ini.

Walaupun pernah dikecam suara dikatakan seperti ‘tercekik sudu’, ia bukan penghalang untuk terus mara dan menempatkan diri dalam bidang seni.

Menurut Ezuwan, kehadiran E1 jauh sekali untuk bersaing dengan penyanyi dan kumpulan sedia ada.

“Saya menubuhkan kumpulan ini bukan untuk syok sendiri atau ingin bersaing. Kami hanya ingin berkongsi bakat dan mewarnai lagi industri hiburan tempatan.

“Kalau tidak mencuba sekarang bila lagi? Pelancaran lagu ini adalah permulaan untuk kami terus bergerak aktif. Insya-Allah selepas ini kami akan merakamkan lagu untuk Aidilfitri pula. Perancangan untuk single kedua pun sudah ada,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Semalam Sahaja hasil ciptaan komposer dan penyanyi, Asfan Shah, Ezuwan berkata, mereka memilih genre retro sebagai salam perkenalan.

“Ketika membuat perancangan untuk E1, saya terfikir mengenai konsep muzik yang ingin diketengahkan. Memandangkan minat yang mendalam terhadap muzik retro, saya ambil keputusan muncul dalam muzik ala 1970-an.

“Lagipun, industri muzik tempatan sekarang lebih kepada genre balada. Sekurang-kurangnya lagu ini memberi nafas baru dan kelainan kepada peminat,” katanya.

Bagi Zulyasrani dan Ariff pula, pembabitan mereka dalam E1 bukan sebagai penutup kelemahan vokal Ezuwan memandangkan kedua-duanya mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian sebelum ini.

“Kami tidak melihat pembabitan kami berdua bukan sebagai penyendal untuk menutup sebarang kelemahan.

“Apa yang pasti, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Sejujurnya, Ezuwan boleh menyanyi. Malah, Asfan juga mengakui perkara ini. Cuma, dia perlukan latihan lebih untuk mengasah vokalnya.

“Disebabkan itu, bukan saja Ezuwan, saya dan Ariff juga masih mengikuti kelas vokal dengan tenaga profesional,” kata Zulyasrani.

Menurut Ariff, mereka juga berlatih vokal terlebih dulu sebelum memulakan proses rakaman lagu pada Disember lalu.

“Sebelum merakam lagu, kami belajar teknik asas vokal dengan penyanyi Bob Yusof. Kami juga meminta tunjuk ajar daripada komposer Asfan.

“Selepas mempunyai asas nyanyian yang betul, baru kami masuk studio untuk menjalani proses rakaman. Jadi, hasil akhirnya lebih profesional dan tidak kedengaran main tangkap muat,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 9:00am
d