rap

Sambutan meriah, bukti Siti relevan di Indonesia

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEMUNCULAN penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di Istora Senayan, Indonesia semalam membuktikan dirinya masih relevan.

Siti, 40, ketika ditemui selepas sesi beramah mesra pagi tadi berkata, dia bersyukur apabila kemunculannya kali ini diterima baik meskipun selepas enam tahun tidak membuat persembahan di negara jiran itu.

“Nak buat kemunculan semula bukan mudah. Saya tak tahu sama ada orang masih ingat, boleh terima atau teruja lagi.

“Alhamdulillah, semua kegusaran hilang apabila saya membuat persembahan dan mendapat maklum balas yang mana masih ingat lagu dan bernyanyi bersama.

“Apa boleh dikatakan, kemunculan di Indonesia ini menjadi. Semua kerja keras selama sebulan dan suka duka rasanya terubat dengan kejayaan konsert malam tadi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Siti, penerimaan peminat Indonesia terhadapnya sejak dua dekad lalu adalah satu penghargaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur. Di Indonesia punya ramai artis hebat juga. Jadi, apabila masih dalam ingatan mereka ia satu penghargaan untuk saya. Sejujurnya, saya tersentuh dengan sambutan diberikan oleh peminat semalam.

“Saya harap selepas ini lebih mudah lagi untuk menerima saya. Cuma, saya lebih teruja mahu mengeluarkan lagu buat peminat di sini dan kolaborasi dengan ramai lagi komposer dan penyanyi di sini,” katanya.

Konsert yang dibawakan oleh Shiraz Projects itu dihadiri lebih 3,000 penonton yang datang dari seluruh Indonesia serta Malaysia, Singapura dan Brunei.

Malah, konsert yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri beberapa artis terkenal tempatan seperti Datuk Seri Rossa, Baim Wong, Lesti, Reza dan ramai lagi.

Berbaki dua lagi konsert iaitu di Singapura (2 Mac) dan Kuala Lumpur (16 Mac), Siti berkata, dia mahu membuat yang lebih baik.

“Saya puas hati untuk konsert semalam, tapi saya bagi lebih lagi di dua lokasi. Memandangkan di sini persembahan pertama, jadi saya dan pasukan akan buat ‘post moterm’ selepas ini. Sudah bagus, jadi nak buat lebih bagus.

“Ada beberapa pertukaran urutan lagu dan visual nak tukar mengikut kesesuaian baju sebab pereka berbeza,” katanya.

Pada konsert yang berlangsung semalam, Siti menyanyikan 29 lagu termasuk rangkaian lagu duet.

Antaranya, Badarsila, Cindai, Hati Kama, Nirmala, Wajah Kekasih, Purnama Merindu, Demi Kasih Sayang, Jaga Dia Untukku, Bersandar Cinta dan banyak lagi.

Siti turut menyanyikan lagu duet Seindah Biasa bersama penyanyi terkenal Indonesia, Tulus.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 5:51pm
d