rap

Promosi lagu cara lama

Oleh Amirul Haswendy Ashari

JIKA penyanyi generasi ini menggunakan platform digital untuk mempromosikan lagu dan meraih rating jutaan tontonan serta muat turun, rapper Daly Filsuf dan Aisyah Bujang pula bereksperimentasi untuk kembali ke era dulu.

Mereka selesa dengan cara menghantar lagu ke stesen radio dan mengharapkan pendengar yang berminat mahu mendengar lagu mereka untuk membuat permintaan.

“Saya panggil projek ini sebagai projek AF atau Aisyah dan Filsuf. Lagu berjudul Rap Untuk Rakyat ini antara projek percubaan untuk mewujudkan kembali nilai sebuah lagu.

“Tidak dinafikan ia satu cabaran kerana masyarakat generasi ini lebih selesa 'disuap' dengan lagu yang mereka suka melalui muat turun dan tontonan percuma di laman digital,” kata Daly.

Daly yang dikenali melalui kumpulan Ahli Fiqir pada pertengahan tahun 2000 berkata, setakat ini mereka mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Katanya, lagu versi asal Rap Untuk Rakyat tidak dimuat naik ke YouTube, sebaliknya hanya bersandarkan rakaman yang dibuat mereka ketika sesi promosi lagu itu di sebuah program hiburan.

Malah, lagu itu juga tiada rakaman pendek pradengar di laman sosial peribadi mereka mahupun platform lain.

“Selepas sesi rakaman program itu, ada beberapa peminat menghantar mesej di laman sosial bertanya di mana mereka boleh dengar dan muat naik lagu itu.

“Saya beritahu ia tiada di mana-mana platform itu, sebaliknya kalau mereka benar-benar suka, mereka boleh membuat permintaan di stesen radio bermula minggu ini.

“Dengan mewujudkan cara ini, ia akan mengembalikan nilai 'mencari' sesebuah lagu, sekali gus mengimbau cara lagu dulu dan stesen radio dihargai,” katanya.

Daly berkata, dia mahu memberi peluang selama dua hingga tiga bulan untuk melihat sejauh mana lagu itu mampu pergi melalui teknik pemasaran begini.

Bercakap mengenai pemilihan Aisyah untuk berduet dalam lagu itu, Daly berkata, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu memiliki vokal yang sesuai dengan lagu berkenaan.

Apatah lagi, Aisyah juga disifatkan mempunyai bakat rap yang tidak pernah diketengahkan sebelum ini.

Aisyah takut nak rap

Aisyah tidak sangka projek ini akan menjadi sebahagian daripada diari seninya sejak bergelar penyanyi.

“Daly berjumpa saya sekitar dua tiga tahun lalu untuk membuat projek lagu bersama, tetapi saya tidak dapat buat sebab masih terikat dengan syarikat rakaman.

“Sehinggalah dia bertemu saya sekali lagi dan menawarkannya, saya terus setuju kerana sudah tidak terikat kontrak dan bergerak sendiri,” katanya.

Penyanyi yang pernah dikenali melalui lagu Cinta dan Luka pada 2016 ini berkata, dia agak takut kerana diberitahu perlu rap dalam lagu Rap Untuk Rakyat.

Tapi, ketakutan itu buat dia sedar perlu melakukan pembaharuan dalam diri untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

Apatah lagi, selama bergelar penyanyi, dia sudah mencuba pelbagai genre sehingga ada berpendapat Aisyah tiada fokus.

“Bagi saya, jadi penyanyi harus pelbagai dan boleh menyanyikan apa saja genre kerana kita adalah penghibur. Lagu ini pula mengenai isu kemasyarakatan dan ia adalah cerita kami,” katanya menafikan sebab ikut trend.

Malah sejak mula diberi ruang untuk rap, Aisyah melihat ia sebuah genre menarik dan berjaya menonjolkan suara sendiri.

Baginya, apa yang penting dia seronok dan menonjolkan watak tersendiri.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 6:31am
d