rap

Mira dilantik duta payung terjun

Oleh Syanty Octavia Amry

PELAKON Mira Filzah, 26, mengaitkan sukan payung terjun sama dengan kehidupan.

Baginya, ketika terbang pada ketinggian 15,000 kaki di langit Sydney, Australia, baru-baru ini, dia sedar betapa kehidupan ini ibarat putaran yang kadang kala di atas dan di bawah.

Begitu juga ketika dia hendak terjun dalam tempoh 90 saat, perasaan takut itu ada dan pelbagai perkara boleh terjadi.

Justeru, pelantikan Mira sebagai duta Persatuan Payung Terjun Malaysia (MyPA), menjadi satu penghargaan untuknya lebih menghargai dan bermuhasabah diri.

Mira ketika ditemui berkata, sukan payung terjun bukanlah sukan untuk berseronok atau suka-suka.

Sebagai seorang wanita muslimah dia juga mahu membuktikan golongan itu mampu melakukan sukan ekstrem.

“Sudah lama saya meminati sukan ini dan apabila dilantik sebagai duta ia memberi peluang untuk lebih mendalami sukan payung terjun.

“Selain meminati sukan ini, saya mahu membuktikan bahawa wanita bertudung juga mampu melakukan sukan ekstrem asalkan berlandaskan agama dan tidak melampaui batas.

“Selain itu, saya berharap dapat berkongsi lebih banyak lagi mengenai sukan ini kepada masyarakat terutamanya golongan belia,” katanya pada majlis menandatangani pelantikan sebagai duta MyPA di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Presiden MyPA, Kapten (B) Amar Ab Aziz.

Mira yang dilantik selama setahun sebagai duta MyPA juga berharap satu hari nanti dia dapat melakukan terjunan secara solo.

“Aktiviti ini semakin berkembang di Malaysia namun ia kurang mendapat perhatian, saya berharap dengan pelantikan sebagai duta mampu mencapai objektif utamanya iaitu untuk memperkenalkan sukan payung terjun kepada lebih ramai orang lagi,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 4:39pm
d