rap

Florence masih gementar

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON kelahiran England, Florence Pugh sering menonton filem lakonan aktres senegaranya Kate Winslet dan Emma Thompson serta menjadikan mereka sebagai contoh.

Dia ingin menjadi pelakon yang jujur berkarya sama seperti pelakon idolanya itu.

Sedikit sebanyak, Florence turut mengikut jejak mereka dengan berlakon dalam filem epik dan karya penulis terkenal William Shakespeare.

Sebagai contoh, peminat dapat menonton lakonannya menerusi filem ikonik membawa watak Amy March dalam filem Little Women tidak lama lagi.

Little Women turut dibintangi pelakon terkenal dan berstatus Gred A seperti Saoirse Ronan, Emma Watson, Timothee Chalamet, Meryl Streep dan Lauren Dern.

Melihat pada barisan bintang serta jalan cerita filem berkenaan, Florence berkongsi tekanan dihadapinya sepanjang menjalani penggambaran.

“Saya sangat takut dan gementar berlakon dalam filem ikonik ini. Bukan hanya disebabkan jalan cerita tetapi juga kerana pengarahnya ialah Greta Gerwig.

“Bukan hanya pengarah tetapi pelakon membintangi filem berkenaan semuanya hebat, terkenal dan punya karisma tersendiri.

“Situasi itu membuatkan saya terfikir sepatutnya bukan berada di situ untuk sama menjayakan filem berkenaan. Sebenarnya, setiap kali bekerja dalam mana-mana filem, saya selalu berfikir seperti itu.

“Bagaimanapun, saya sangat bertuah dipilih membintangi karya berkenaan. Saya harus bersikap adil, tidak semua orang akan menyukai sesebuah karya itu.

“Apatah lagi apabila dikatakan ia adalah pembikinan semula. Pasti ada yang lebih menyukai karya asal dan menggemari yang diolah semula,” katanya.

Memulakan kembara seni pada 2014 menerusi filem The Falling, wanita berusia 23 tahun itu mendapat perhatian selepas membintangi karya Little Macbeth pada 2016.

Bermula dari situlah namanya menjadi sebutan penerbit dan pengarah. Malah, dia dijangka menjadi pelakon wanita baharu paling bersinar tahun ini.

“Ketika kanak-kanak, saya seorang yang suka bercakap. Saya akhirnya berjaya berlakon dalam sebuah filem pada tahun terakhir saya bersekolah.

“Saya tidak ada pengetahuan apa-apa mengenai dunia lakonan tetapi saya menyukainya.

“Ketika berlakon dalam filem berkenaan, saya tidak memikirkan apa-apa. Saya sama sekali tidak sangka filem itu mendapat perhatian dan akhirnya mendapat banyak tawaran.

“Kali pertama berlakon dalam The Falling, saya sangat gementar hingga terlupa sebaris dialog yang perlu saya katakan untuk penggambaran pada hari itu.

“Saya juga ingat, pelakon dan kru serta pengarah memandang kami semua sama rata,” katanya.

Mewakili golongan muda di Hollywood, dia berharap supaya semua individu menghormati satu sama lain tanpa memandang darjat, warna kulit dan status.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 5:00am
d