rap

Tunggu 36 jam baru lahir

Oleh Amirul Haswendy Ashari

“JIKA anak sulung, kami tunggu 24 jam sebelum selamat dilahirkan, kali ini lebih lama lagi apabila cecah 36 jam,” kata penyampai radio Kool FM, Muaz Mohamed yang dikurniakan anak kedua pada 19 Februari lalu.

Muaz berkata, dia bersyukur kerana semua urusan dipermudahkan Allah meskipun proses kelahiran perlu disegerakan berikutan kandungan isterinya dikenali Nor Ediana Abdul Aziz cepat besar dan bayi aktif.

Katanya, Nor Ediana sepatutnya melahirkan bayi mereka pada 1 Mac depan.

“Bayi dalam kandungan cepat membesar dan doktor bimbang jika ia terlalu besar, akan beri kesan sampingan, selain ketika pemeriksaan, leher bayi sudah terbelit tali pusat.

“Jadi untuk kurangkan risiko dan bayi sudah cukup matang, maka kami bersetuju untuk proses kelahiran awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muaz yang juga pengacara Borak Kopitiam berkata, isterinya dimasukkan ke hospital pada pagi 18 Februari lalu dan doktor memberikan ubat untuk proses gesaan bersalin (induce).

Namun, hanya selepas 36 jam menunggu, barulah isterinya menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin dan bayi seberat 3.36 kilogram dilahirkan secara normal.

Dia juga bersyukur menyambut bayi itu lebih awal memandangkan adik bongsunya bakal berkahwin minggu depan dan dia bertanggung jawab untuk membantu menguruskan majlis itu.

“Kami sudah ada beberapa nama untuk bayi tetapi belum putuskan apa yang sesuai. Buat masa ini panggilan manjanya adalah 'Baby EM', sama seperti panggilan buat anak sulung ketika dia dilahirkan dulu,” katanya.

Muaz dan Nor Ediana melangsungkan perkahwinan pada Februari 2013 dan dikurniakan anak sulung lelaki, Emirza Mukhri yang kini berusia lima tahun.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 4:47pm
d