rap

Sherry 'salute' Mazidul

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGACARA popular, Sherry al Hadad kagum dengan semangat bekas pengacara program 999 dan wartawan penyiaran TV3, Mazidul Akmal Sidek yang masih bercerita mengenai kerja walaupun kini hilang upaya untuk bekerja akibat diserang angin ahmar lima tahun lalu.

Sherry yang melawat Mazidul di rumahnya di Kota Damansara, semalam berkata, dia yang berbual hampir tiga jam bersama bekas pengacara popular itu kagum dengan cerita Mazidul mengenai pengalamannya selepas terjaga dari koma selama sebulan.

“Katanya sebaik terjaga dari koma, dia terus bertanya mengenai beberapa tugasannya yang belum disiapkan. Saya kagum dalam keadaan sakit pun dia masih tanya mengenai kerja dan masih mengikuti perkembangan semasa dunia penyiaran sehingga kini.

"Saya terkejut melihat keadaan dia tetapi paling tersentuh mendengar dedikasinya terhadap kerja,” katanya.

Sherry yang memuat naik fotonya bersama Mazidul di Instagram hari ini mendapat banyak reaksi daripada peminat dan rakan artis.

"Sebaik saja memuat naik foto itu, ramai yang terkejut dan tidak sangka ramai pula yang bertanya mengenai keadaannya," katanya.

Menurut Sherry, pertemuan dengan Mazidul adalah untuk musim terbaru program bual bicara The Sherry Show.

"Kebetulan suami kepada penerbit The Sherry Show ialah bekas penerbit program 999. Dialah mencadangkan untuk bertemu Mazidul untuk episod mengenai kerjaya pengacara.

“Mazidul adalah salah seorang pengacara yang memiliki pengalaman dan ketegasan tersendiri ketika mengendali program itu suatu ketika dulu," katanya.

Sherry berkata, perasaan sayu pasti timbul tatkala melihat orang sihat menjadi sakit. Namun, ketika berbual dengan Mazidul, dia percaya pengacara itu sebenarnya tetap 'sihat' seperti insan lain.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 5:58pm
d