rap

Julia Farhana kecewa dinafikan hak bersuara

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON meningkat naik, Julia Farhana Marin mendedahkan dia pernah berasa kecewa apabila hak bersuara dinafikan dengan alasan masih baru dalam industri.

Kata Julia, dia juga kesal dengan pandangan segelintir pihak menganggap dia sebagai pelakon baru yang tidak tahu apa-apa dan senang dipergunakan.

Menurutnya, walaupun masih baru tetapi dia tidak rela dieksploitasi semata-mata untuk 'mencantikkan' jalan cerita.

“Saya ada pendirian sendiri dan akan menolak tawaran atau melakukan sesuatu babak yang dirasakan kurang sesuai untuk tontonan umum.

"Saya adalah seorang pelakon yang akan melontarkan pendapat untuk mengembangkan lagi sesuatu karakter. Kalau rasa kurang sesuai atau tidak selesa, saya akan terlebih dulu bincang dengan pengarah," katanya.

Meniti tahun ketiga kerjaya seni katanya, dia sangat bersyukur kerana diberikan peluang berlakon dalam siri Salon yang ditayangkan menerusi Viu dan saluran ntv7.

Walaupun drama itu sudah tamat tayangan, namun ia membuka mata umum akan bakatnya.

Malahan, semakin ramai yang percaya dan mengakui kemampuan lakonannya.

"Saya gembira dan lega apabila semakin ramai yang percaya serta yakin pada bakat saya. Ini adalah permulaan baik untuk terus membina nama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Julia juga berlakon dalam drama Setelah Cinta Itu Pergi yang ditayangkan menerusi TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 5:18pm
d