rap

Berusaha untuk bebas

Oleh Georgie Joseph

DISEBABKAN krisis kewangan, penyanyi R&B terkenal, R Kelly gagal membayar wang jaminan RM407,000 menyebabkan dia terpaksa meringkuk dalam penjara selepas ditahan, baru-baru ini.

Kelly, 52, ditahan selepas menyerah diri atas 10 tuduhan melakukan penderaan seksual terhadap empat mangsa yang masih di bawah umur sewaktu insiden berlaku.

Berikutan penahanan itu, penyanyi lagu I Believe I Can Fly terbabit diperintah membayar RM1 juta kepada setiap mangsa sebagai denda. Untuk keluar dari tahanan polis, dia perlu membayar 10 peratus daripada jumlah denda itu.

Peguamnya Steve Greenberg berkata, Kelly ketika ini mengalami masalah kewangan disebabkan kegagalannya menguruskan perbelanjaannya.

Pada masa sama, penyanyi itu kini berusaha mendapatkan sejumlah wang bagi membebaskan dirinya dari tahanan polis.

“Dia sedang bekerja keras mengumpul jumlah wang berkenaan. Dia tidak mempunyai jumlah wang sebanyak itu dalam akaun banknya,” katanya.

Masalah kewangan Kelly bukan terhenti di situ saja. Berdasarkan rekodnya dalam mahkamah, dia turut berhutang nafkah anak sebanyak RM688,000 dengan bekas isterinya.

Seperti diperintah mahkamah, dia sepatutnya membayar RM85,000 setiap bulan bermula 8 Januari 2009 tetapi gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, dia tidak diwajibkan membayar hutang nafkah anak­nya itu untuk dibebaskan.

“Walaupun dia diminta beberapa pihak untuk membayarnya, hakim bagaimanapun memutuskan tidak perlu,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi itu kini berhadapan risiko studio miliknya mungkin disita gara-gara masih ada bayaran sewa tertunggak berjumlah RM676,000.

Mengikut perintah, dia sepatutnya diminta me­ngosongkan studionya itu sebelum 21 Januari lalu. Bagaimanapun, dia masih menggunakan studio itu sehingga pada hari penahanannya, baru-baru ini.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 10:02am
d