rap

Mula kumpulpeminat seberang

Oleh Ardini Sophia Sina

PERCATURAN kumpulan Floor 88 bekerjasama dengan Baby Shima menerusi lagu Roadblock Hatiku membuahkan hasil walaupun pada awalnya mereka kurang yakin penerimaan peminat terhadap lagu berkenaan.

Mula memahat nama dengan dua lagu iaitu Zalikha dan Aqilah, sudah pasti mereka gembira apabila video muzik yang dimuat naik di YouTube sejak September tahun lalu kini mencatat lebih 23 juta jumlah tontonan.

Dianggotai Ayie sebagai penyanyi, Achoi (gitar utama), Falique (bass), Eric (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua), mereka lega serta gembira dengan kejayaan itu.

Walaupun tanpa kehadiran Amir pada sesi fotografi menggabung kumpulan berkenaan dengan Shima, mereka tetap bersemangat mempromosikan lagu Roadblock Hatiku.

“Selepas kejayaan Zalikha, kami agak tertekan untuk mencari lagu kedua. Kami bersyukur kerana Aqilah juga berjaya menambat hati dan telinga pendengar.

“Kalau pendengar sedar, lagu Zalikha itu ada unsur gamelan. Oleh itu, untuk lagu seterusnya kami inginkan kelainan dan memilih Shima dan masukkan elemen dangdut maka terhasil Roadblock Hatiku.

“Kami bersyukur kerana mendapat banyak tontonan di YouTube dan tak sangka ia diterima baik. Namun, bimbang juga dengan penerimaan peminat,” kata Ayie mewakili rakan dalam Floor 88.

Menurutnya, jumlah tontonan itu mungkin juga dipengaruhi populariti Shima di Indonesia. Selain itu, Shima juga peserta program realiti popular, Big Stage yang pastinya sedikit sebanyak memberikan impak kepada

lagu itu.

Bagaimanapun, Ayie menolak dakwaan mengatakan mereka sengaja memilih Shima kerana ingin menggunakan popularitinya supaya Floor 88 turut berpeluang bertapak dan mengembangkan kerjaya di Indonesia.

Pada masa sama, Ayie tidak menafikan kerjasama yang terjalin itu turut membuatkan Floor 88 mendapat perhatian peminat dari Indonesia. Malah, ada yang mengharapkan mereka ke sana untuk mengadakan persembahan.

“Kami sama sekali tidak menggunakan nama Shima untuk membuka jalan Floor 88 ke Indonesia. Perancangan kerjasama ini sudah pun dibincangkan sebelum dia menyertai Big Stage.

“Bagaimanapun, impak kerjasama itu memang ada. Sekarang ini pun kami sudah mulai mengumpul peminat dari negara itu. Insya-Allah, ada peluang, kami ingin mencuba nasib di sana,” katanya.

Mula-mula tak kenal Floor 88

Shima yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Nagaswara tidak berasakan jumlah tontonan video muzik itu adalah disebabkan popularitinya di Indonesia.

Shima berkata, Floor 88 sendiri sudah cukup dikenali dan dua lagu mereka sebelum ini juga mendapat jumlah tontonan tinggi di YouTube iaitu lebih 32 juta.

“Saya tidak rasa populariti di Indonesia menyebabkan jumlah tontonan Roadblock Hatiku tinggi. Video muzik mereka sebelum ini pun sudah ‘meletup’. Saya rasa mungkin Big Stage membantu juga. Lagu itu dirakam sebelum Big Stage dan hanya dilancarkan selepas berakhirnya program itu,” katanya.

Menurut Shima, lagu itu adalah karya pertamanya berganding dengan pe­nyanyi lain.

Akibat sibuk dengan aktiviti nyanyian di Indonesia, Shima mengakui tidak mengenali Floor 88 ketika pertemuan pertama mereka.

“Kali pertama berjumpa mereka ialah di satu acara di Singapura. Eric datang dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya. Disebabkan ketika itu tidak kenal mereka, saya mengambil masa untuk bersetuju.

“Saya lakukan carian dan dengar lagu mereka. Memandangkan saya tidak pernah ada lagu duet maka saya bersetuju. Tambahan pula, Floor 88 membawakan konsep muzik dengan sentuhan rock,” katanya.

Jika diberikan peluang untuk bekerjasama lagi, Shima tidak menolak.

Penyanyi berusia 26 tahun ini cukup selesa dengan mereka, sekali gus memudahkan lagi kerjasama dengan Floor 88 pada waktu yang lain.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 1:00pm
d