rap

Kerja keras tampil berbeza

Ardini Sophia Sina

Ditayangkan lebih sedekad lalu, peminat filem pastinya masih mengingati kehebatan Hellboy yang ditayangkan pada 2004 dan 2008.

Tahun ini, filem itu sekali lagi bakal ‘mengganas’ di pawagam walau hanya sekadar ‘reboot’.

Masih mengekalkan pengarah dan diterbitkan oleh produser sama, namun pelakon utama yang membawakan watak sebagai Hellboy atau Anung Un Rama dilakonkan David Harbour yang sebelum ini dibawakan Ron Perlman.

Perkara itu memberikan sedikit tekanan buat Habour kerana dia perlu membawakan watak itu berbeza dengan Perlman.

“Apabila kita bercakap mengenai filem ‘reboot’, saya perlu bekerja keras untuk tampil berbeza dengan pelakon sebelum ini supaya penonton dapat melihat watak Hellboy semakin berkembang.

“Ron melakukan sesuatu yang luar biasa bagi mewarnai dan mencorakkan watak itu. Bagaimanapun, dalam Hellboy baru ini dia digambarkan masih muda dan boleh dikatakan masih remaja. Dia seorang yang kasar dan sedang bergelut untuk mencari identiti sama ada dia baik atau jahat,” katanya.

Sama ada lakonannya sebagai Hellboy diterima baik atau tidak, pelakon berusia 43 tahun itu menyerahkan kepada penonton untuk menilai sebelum memberikan apa-apa komen.

Bagaimanapun, sudah pastilah pelakon yang turut menambat hati penonton menerusi siri Stranger Things tayangan Netflix itu mengharapkan maklum balas positif daripada peminat Hellboy.

“Buat masa ini, saya tidak boleh katakan apa-apa kerana filem belum ditayangkan. Sama ada mereka suka atau tidak, itu terpulang kepada penonton untuk menilai. Saya tidak ada hak untuk menghalang mereka daripada memberikan pendapat.

“Bagaimanapun, saya sudah memberikan yang terbaik dan berharap lakonan tidak dibandingkan serta diterima baik. Saya juga berharap penonton berpuas hati de­ngan filem itu walaupun hanya sekadar ‘reboot’,” katanya.

Berlakon dalam beberapa filem antaranya Quantum of Solace, The Green Hornet, Snitch dan The Equalizer, Harbour sama sekali tidak me­nyangka lakonannya sebagai Cif Hawkins dalam Stranger Things diterima baik.

Hanya sekadar tayangan di Netflix, ramai peng­gemar siri itu yang tidak ketinggalan menonton sejak musim pertama hingga musim kedua.

Disebabkan sambutan itu, musim ketiga bakal menemui peminat pada Jun hadapan.

“Saya sebenarnya tidak sangka watak itu menjadi kegemaran ramai. Hakikatnya, saya sendiri menyukai watak Cif Hawkins kerana tekanan emosi yang berjaya diatasinya.

“Mungkin ia memberikan inspirasi kepada penonton, itu saya kurang pasti. Bagaimanapun, terima kasih kepada pihak penerbit yang memberikan peluang untuk berlakon dalam siri Netflix,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 1:00pm
d