rap

Rumah untuk keluarga, bukan nak kahwin - Rafiena

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON yang kini aktif dalam bidang penerbitan, Datuk Rafiena Ezanee Ramli menafikan dakwaan banglo mewah yang sedang dalam pembinaan adalah persediaan untuknya mendirikan rumah tangga.

Rafiena, 37, berkata, rumah tiga tingkat itu adalah untuk kedua ibu bapa serta dua anaknya, Catheriena Batrisya, 10, dan, Christina Zaraa, 6.

Katanya, rumah baru itu tidak ada kena-mengena mengenai kahwin dan dia selesa dengan keluarga serta anak.

“Malah, rumah baru ini pun bukan untuk sesiapa, sebaliknya ia bagi keluarga. Saya nak memberi keselesaan kepada mereka.

"Alhamdulillah, selepas tiga kali bertukar kontraktor dalam tempoh empat tahun, rumah ini bakal siap tidak lama lagi.

"Insya-Allah, ia dijangka siap sebelum sambutan Aidilfitri ini dan merancang untuk beraya di rumah baru," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai harga sebenar banglo itu yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit, Rafiena yang juga pengasas produk House Of Dre selesa untuk tidak berkongsi perkara itu.

"Kalau saya berkongsi, orang kata riak pula. Jadi, lebih baik saya simpan. Kalau saya tidak cakap pun, orang mesti akan buat anggaran sendiri," katanya.

Menurutnya, rumah yang didiami sekarang bakal dijadikan set dan lokasi penggambaran drama.

"Saya merancang untuk menjadikan rumah ini set penggambaran yang ada bilik hospital, pejabat dan yang berkaitan.

"Malah, saya mungkin akan sewakan kepada produksi luar yang memerlukan set seperti ini. Jadi, ia lebih mudah dan harga pun murah," katanya.

Dalam perkembangan lain, drama fenomena terbitan syarikatnya, Darkwave Pictures Sdn Bhd iaitu Syurgaku Tak Sempurna lakonan Raja Ilya dan Shah Iskandar bakal menemui penonton pada Mei ini di saluran Unifi TV menerusi Syurgaku Tak Sempurna 2.

Musim kedua itu turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Haliza Misbun, Zarina Zainoordin, Arja Lee dan ramai lagi.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 3:50pm
d