rap

Deen teruja sambut anak sulung

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYAMPAI radio Hot FM, Deen, 31, tidak dapat melupakan pengalaman menyambut anak sulungnya, Leia Zarra yang lahir pada 22 Februari lalu.

"Pengalaman paling indah apabila bayi keluar saja dia terus menangis tetapi apabila saya memanggil namanya, dia terus senyap.

"Perasaan sebak dan terharu bercampur-baur kerana dia tahu itu ialah namanya apatah lagi sewaktu bayi masih dalam kandungan saya suka memanggil namanya itu," katanya.

Deen atau nama sebenarnya Nordin Madian mendapat ilham memberi nama Leia Zarra ketika sedang berjalan dengan isterinya, Siti Nur Warda Aminuddin di pusat beli-belah Setia City Mall.

Bayi pasangan itu dilahirkan secara pembedahan atas nasihat doktor pada jam 11.45 pagi di Hospital Ampang Puteri.

Deen ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia amat bersyukur kerana bayi dan isteri selamat serta sihat.

"Rasa gembira sangat setiap kali melihat wajah anak dan 'enjoy' pula apabila berpeluang melakukan tugas menukar lampin anak sendiri," katanya.

Secara berseloroh, Deen berkata, dia tidak kisah seandainya dapat berbesankan rakan penyampai, Muaz Kool FM yang turut dikurniakan anak lelaki kedua pada 19 Februari lalu.

Pasangan Deen dan Warda sah bergelar suami isteri pada 2 Disember 2016 selepas lapan tahun bercinta.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 4:06pm
d