rap

Erra tidak pasti status dengan Shahir [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Erra Fazira, 45, mengakui sudah lama tidak bersua muka dengan penyanyi, Shahir Zawawi yang sebelum ini, dikatakan menjalin hubungan cinta dengannya.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dia bagaimanapun masih berhubung dengan penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu.

“Saya dengan dia tidak ada sebarang masalah, bahkan tidak bergaduh. Memang masih ada berhubung, tapi saya sendiri pun dah lama tak berjumpa dengan dia.

“Saya pun tidak tahu apa yang berlaku kepada dia dan tidak pernah bertanya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai perkembangan hubungannya dengan penyanyi berusia 31 tahun itu, Erra enggan mengulas lanjut kerana dia sendiri pun tidak pasti di mana kedudukannya atau status mereka berdua.

“Saya pun tak tahu di mana saya berdiri (kedudukan dalam hubungan mereka). Bila kita tak tahu, susah untuk jelaskan apa-apa.

“Bagi saya, bila kita dah tahu ‘tapak’ belum kukuh, jadi, jangan sesekali beranikan diri untuk ‘membeli bahan binaan’ untuk membina ‘rumah’,” katanya secara berkias.

Erra juga menegaskan, dia hanya mengikut segala perancangan yang ditetapkan Tuhan untuknya.

“Buat masa ini, saya rasa ikut saja arus takdir yang Tuhan siapkan. Bagi saya, lebih selesa untuk kukuhkan ‘tapak’ terlebih dulu sebelum membina apa-apa,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan yang pernah dikeluarkan Shahir pada Julai tahun lalu mengenai perancangan perkahwinan mereka, Erra enggan mengulas lanjut.

“Setiap kenyataan itu adalah daripada pihaknya. Saya tak boleh nak cakap lebih. Sehingga hari ini, kalian sendiri pun nampak, belum ada apa-apa berlaku,” katanya.

Erra juga menitipkan pesanan kepada lelaki di luar supaya berfikir semasak-masaknya sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan atau kata-kata.

“Sesetengah lelaki mungkin tak faham dan hanya sekadar menabur kata. Kalau tak maksudkan apa-apa, jangan bercakap.

“Kena fikir bahawa setiap tindakan ini untuk jangka masa panjang dan mungkin ada yang tak faham hakikat ini,” katanya.

Terbaharu, Erra kini menjadi juri tetap untuk program realiti komedi terbaru di Astro Warna, Miss Lawak yang menampilkan 18 peserta wanita.

Selain Erra, kerusi juri tetap juga dikongsi dengan Datuk AC Mizal serta diacarakan oleh pengarah, pelakon, pelawak dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 8:31pm
d