rap

Shahir mahu bersemuka dengan pemfitnah

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI, Shahir mahu bersemuka dengan individu yang menyebarkan fitnah mendakwa dirinya lelaki tidak baik selain dituduh 'kaki perempuan'.

Shahir berkata, dia teringin untuk melihat individu itu bercerita di hadapan khalayak ramai dan disaksikan olehnya.

Katanya, dia teringin bersemuka dengan orang yang menyebar fitnah mengatakan nampak penyanyi itu dengan wanita di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

"Individu itu siap bersumpah di hadapan Erra serta beberapa individu lain yang kononnya tahu segala cerita mengenai saya.

"Saya mohon dia tampil dan berdepan dengan saya andai dia berasakan dirinya benar. Saya teringin nak tahu siapa individu itu.

"Saya tak nak orang sekeliling terpengaruh dengan apa yang disampaikan sedangkan perkara itu tidak betul," katanya.

Menurutnya, dia sudah penat untuk melayan berita tidak benar seperti yang sering disebarkan.

"Saya sudah penat untuk berdepan semua ini. Saya tak faham kenapa ada manusia yang sanggup memfitnah dan mengada-adakan cerita tidak benar kepada Erra.

"Sebagai wanita, dia pasti berasa sedih dan terkejut apabila mendengar perkara buruk mengenai diri saya. Mujur dia tidak menerima setiap apa yang dikongsikan bulat-bulat,” katanya.

Shahir berkata, meskipun terpaksa berdepan fitnah, dia mengaku hubungannya dengan Erra masih berjalan dengan baik.

"Hubungan kami masih baik dan berjalan seperti biasa. Cuma tiada sebarang perkembangan termasuklah soal perancangan nak berkahwin.

"Saya akui sudah lama tidak berjumpa dengan Erra kerana masing-masing sibuk dengan kerja," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 7:24pm
d