rap

Kehilangan Adib ada kaitan dengan mistik - Black

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI, Black tidak menafikan kejadian misteri menimpa pembantu peribadinya dikenali sebagai Adib yang hilang selama lima hari ada kaitan dengan kejadian mistik.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 31, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut disebabkan dirinya dan keluarga Adib masih bingung mengenai insiden itu sebaliknya memberi masa kepadanya untuk berubat terlebih dulu.

“Sebaik dia muncul semula semalam, keluarganya memutuskan untuk membawa dia berubat di kampungnya di Seremban. Sekarang kami beri masa untuk dirinya berehat penuh dulu.

“Keadaannya semakin bertambah baik meskipun masih terkejut dengan kejadian menimpanya. Dia pun sudah mula ber’WhatsApp’ dengan saya dan mengatakan dirinya sudah okey.

“Buat masa ini, saya terpaksa mencari pembantu peribadi lain untuk menggantikannya buat sementara waktu. Saya mahu bagi dia cukup rehat dulu sehinggalah sedia kembali bekerja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan kejadian misteri itu, Black berkata, Adib tidak tahu langsung bahawa dirinya hilang selama lima hari selepas pergi memancing di sebuah lombong di Sunway Kayangan.

Pembantu peribadinya itu pulang seperti biasa ke rumahnya semalam dan terkejut apabila ibunya bising mengenai kehilangannya.

“Adib ingat dia cuma keluar selama dua jam. Sewaktu dia pergi memancing, bateri telefonnya mati dan mendakwa sepanjang tempoh itu dia cuma berborak dengan seorang pak cik di lombong berkenaan.

“Itulah dia terkejut apabila ibunya memberitahu dia hilang sejak Jumaat malam Sabtu lalu selain menunjukkan laporan polis mengenai kehilangannya.

“Selepas dibawa berjumpa pakar dan ustaz di Seremban semalam, mereka berkata kejadian itu memang ada kaitan dengan mistik. Apapun, saya berharap tiada apa-apa yang merisaukan dan syukur dia sudah kembali,” katanya.

Terdahulu, penyanyi itu memuat naik mengenai kehilangan Adib di media sosial dan meminta orang ramai membantu mencarinya. Bagaimanapun, semalam dia memberitahu pembantunya itu sudah pulang rumah.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 9:55pm
d