rap

Kasih anak dengan ibu takkan terputus - Along

Oleh Norhayati Nordin

"SAYA dah lama maafkan dia dan di dalam hati ini pun tidak ada dendam langsung. Apatah lagi, dia ibu kepada anak saya.

"Syurga anak saya, Ahmad Danial, 8, tetap di bawah tapak kaki ibunya. Jadi, kasih di antara anak dan ibu takkan terputus," kata pelawak dan pelakon komedi, Along Cham.

Menurutnya, selama ini dia juga tidak menghalang bekas isteri, penyanyi Zila Saeron berjumpa dengan anak mereka yang kini tinggal bersamanya dan keluarga di Johor.

"Saya tak pernah pun halang dia (Zila) untuk bertemu anak kami. Cuma, dia kena faham sekarang Danial sudah bersekolah dan saya menghantarnya ke sekolah yang belajar tahfiz.

"Terus-terang, saya sangat menitik berat dan utamakan pendidikan anak. Jadi, kalau dia nak jumpa Danial, datang saja ke Johor," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran filem berjudul Tiada Tajuk di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, sejak bercerai, dia sebenarnya sudah tidak ambil tahu langsung mengenai bekas isterinya.

“Apa pekerjaan dia sekarang dan tempat tinggalnya pun saya tak tahu di mana. Namun, bagi saya apa yang berlaku dulu tetap ada hikmahnya daripada Allah SWT dan saya pun tak sepenuhnya meletakkan salah pada dia seorang.

"Apa yang berlaku itu kerana kelemahan saya sebagai suami dia ketika itu dan ia kekurangan daripada kami berdua dalam perhubungan," katanya.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 36, turut berkongsi dia kini memberi tumpuan penuh kepada karier seninya yang kembali bersinar.

Terbaru, Along akan muncul dengan filem berjudul Tiada Tajuk arahan pertama Mawi yang akan ditayangkan di pawagam mulai 4 April nanti.

Melakonkan watak Kuswadi dalam filem bergenre Islamik komedi itu, Along juga berganding dengan Hazama dan Joey Daud.

Sebelum ini, dia juga pernah dikenali sebagai Bobby dalam filem Adnan Sempit bersama pelakon popular, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin.

Pun begitu, ketika karier seninya suram apabila dia turut melalui episod duka pada 2016 dalam rumah tangga yang musnah di tengah jalan.

Along dan Zila sah bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016 selepas lima tahun hidup bersama dan dikurniakan seorang anak.

Dengan perceraian yang berlaku itu, Along mendapat hak penjagaan kekal anak mereka, Ahmad Danial manakala, Zila diberi hak lawatan.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 3:38pm
d