rap

Salon lonjak kerjaya Julia

Oleh Ardini Sophia Sina

Tahun ketiga mencipta nama sebagai pelakon, bakat Julia Farhana Marin semakin menyerlah. Impak watak Anna menerusi drama Salon tayangan di Viu dan ntv7 itu membuka lebih banyak peluang buat dirinya.

Kata wanita berusia 24 tahun itu, sukar untuk dia dapatkan watak utama dalam siri berkenaan kerana masih baru, kurang pengalaman dan namanya belum cukup dikenali.

Namun begitu, dia sangat berterima kasih kepada mereka yang memberikan peluang dan percaya bakat serta yakin dia mampu membawakan karakter wanita psiko.

“Selepas berlakon dalam drama Salon, ia membuka lebih banyak peluang. Saya diberikan kepercayaan untuk watak utama sebuah karya tayangan di saluran TV 3.

“Paling seronok bukan hanya dapat melakonkan watak baru tetapi juga ada tawaran berlakon filem dengan karakter yang menarik. Saya bersyukur dengan rezeki ini,” katanya.

Beberapa hari lalu, Julia adalah antara selebriti yang dijemput membincangkan topik bagaimana wanita mengubah landskap pengisian karya di Malaysia anjuran Viu Malaysia.

Katanya, Viu memberikan dia peluang bercakap dan bersuara walaupun dia masih hijau dalam industri. Dia sedar, tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai industri atau penerbitan.

Bagaimanapun, dari kaca mata pelakon, Julia mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri. Dia ingin berkongsi banyak perkara dengan penggiat seni agar mampu mengangkat industri ke tahap lebih tinggi.

“Ketika awal pembabitan, saya akui agak sukar kerana berani bersuara. Apabila ada babak tertentu yang saya rasa kurang selesa untuk lakonkan, saya akan bertanya pada pengarah kenapa saya mesti lakukan itu dan kenapa tidak boleh gunakan teknik kamera saja.

“Pernah ada orang suruh saya diam kerana tidak tahu apa-apa hanya kerana saya masih baru. Saya faham, ramai pelakon baru yang ikut saja kerana bimbang ‘digam’.

“Tidak salah untuk bersuara tetapi janganlah dari aspek negatif. Berikan yang positif. Kita bersuara bukan untuk bergaduh. Saya sendiri tengok drama tempatan. Sebagai pelakon saya harus ambil tahu karya baru di televisyen atau pawagam,” katanya.

Pernah suatu ketika, Julia menjalani ujibakat sebuah drama tetapi apa yang membuatnya kurang selesa ada unsur penderaan seksual secara lisan yang digunakan.

Walaupun tidak membabitkan sentuhan namun ia sudah cukup untuk Julia meninggalkan lokasi ujibakat itu kerana enggan dirinya dieksploitasi.

“Mungkin sebab itu juga saya tidak ada tawaran tetapi saya percaya rezeki itu milik Allah. Saya percayakan kecintaan dalam lakonan, kerja keras serta pendirian sendiri.

“Saya juga percaya, kalau setakat cakap saja dan tidak lakukan sesuatu maka tidak ada gunanya. Untuk membuat perubahan, saya perlu pertahankan diri sendiri terlebih dahulu kerana orang lain tidak akan buat begitu.

“Viu tidak hanya bercakap kosong dalam hal memperjuangkan ‘women empowerment’. Mereka buat dan berikan tawaran kepada pelakon wanita untuk bawakan watak penting dalam karya,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:01am
d