rap

Lan Solo masih berbisa

Oleh Ardini Sophia Sina

WALAUPUN sudah lama tidak terbabit dengan persembahan skala besar, namun, penyanyi Lan Solo membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya menghiburkan lebih 500 penonton ‘showcase’ Lan Solo Next Level (LSNL).

Lan, 34, menggegarkan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur malam tadi dengan mempersembahkan 18 lagu antaranya Sangkar Cinta, Amboi, Selagi Ada Rindu, Bujang Senang Resam Pak Belalang dan Seragam Hitam.

Bergerak solo sejak 2017, kata Lan, dia sangat terharu dan gembira dengan sokongan luar biasa peminat.

Katanya, dia sangat berterima kasih kerana hingga ke hari ini masih ramai yang menantikan persembahan daripadanya.

“Saya tidak dapat katakan apa-apa melihat penonton yang hadir malam ini. Saya teruja, bahagia dan bangga melihat peminat sanggup datang demi menyaksikan persembahan ini.

“Untuk merealisasikan impian ini, banyak dugaan dan cabaran yang saya harungi. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan untuk ‘showcase’ ini, saya dipertemukan dengan ramai orang yang membantu,” katanya.

‘Showase’ LSNL turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas ahli kumpulan Kristal iaitu Ainol, Ezan, Ejal, Amai dan Joe yang turut sama bermain alat muzik mengiringi nyanyian Lan.

“Syukur kami dapat menjayakan LSNL. Insya-Allah, peminat dapat lihat kami hasilkan karya sebagai sebuah ‘band’ projek,” katanya.

Pada ‘showcase’ itu, pelakon dan pelawak Ain Sufia mengendalikan perjalanan acara. Ia diserikan lagi dengan persembahan daripada Jiha Akhir, Ray Asri dan Zetty Mentor.

Beberapa selebriti turut hadir menonton persembahan Lan antaranya Farhan, Fizi Ali, Shakilla Khoriri, Marsha Milan Londoh, Azharina Azhar, Raja Azura, Nizam Laksmana dan Ani Mayuni.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:36pm
d