rap

Bukan nak 'tayang' kemampuan

Oleh Ardini Sophia Sina

Mungkin persembahan Lan Solo Sabtu lalu hanyalah sebuah showcase namun kualiti yang ditampilkan sama ada dari segi muzik, penggunaan lampu, pemilihan lagu dan vokal cukup membanggakan.

Membawakan 18 lagu, tenaga dan aura Lan Solo yang dulunya pernah menjadi vokalis kumpulan Kristal tidak pernah pudar. Dia membuktikan, walaupun kini bergerak solo bisanya tidak pernah hilang.

Membawakan lagu Sangkar Hitam sebagai lagu pembukaan dan diakhiri dengan Smells Like Teen Spirit, Lan kekal bersemangat dan berjaya menggamatkan suasana dewan.

Peminat yang sudah lama meminatinya sejak awal pembabitan masih terpukau dan kagum dengan kehebatannya di atas pentas. Malah, mereka turut sama menyanyi.

Bergerak solo sejak 2017, kata Lan, dia sangat terharu dan gembira dengan sokongan luar biasa peminat. Dia sangat berterima kasih kerana sehingga ke hari masih ramai menantikan persembahan daripadanya.

Namun, merealisasikan impian untuk showcase itu bukanlah satu perkara mudah. Terlalu banyak dugaan yang terpaksa di hadapi.

Bagaimanapun, Lan puas kerana gabungan dengan bekas anggota Kristal yang lain iaitu Ainol, Ezan, Ejal, Amai dan Joe yang mengiringi persembahannya berjaya menghiburkan penonton.

Dalam sidang media yang diadakan selepas itu, senarai lagu pada malam berkenaan adalah 100 peratus pilihannya berdasarkan rentetan kerjaya yang bermula pada 1999 hingga sekarang.

“Persiapan untuk persembahan ini sudah lama. Malahan, ada banyak rintangan yang perlu saya hadapi. Saya sangat berterima kasih kepada pasukan yang sama-sama bekerja keras merealisasikan showcase ini.

“Susun atur lagu pada malam ini saya buat sendiri. Ia adalah susunan yang dibuat berdasarkan perjalanan seni yang bermula sejak 20 tahun lalu. Alhamdulillah, setakat ini saya masih tidak ada halangan untuk menyanyikan lagu Kristal.

“Saya tidak boleh buat apa-apa kerana setiap kali buat persembahan penonton tetap mahukan saya menyanyikan lagu lama walaupun ada lagu baru,” katanya.

Melihat persembahan cemerlang itu, Lan bagaimanapun sama sekali tidak terniat untuk menjadikan showcase itu sebagai bukti dia mampu bergerak sebagai penyanyi solo.

Malahan, jauh sekali terfikir untuk adakan persembahan seperti itu. Apa yang difikirkannya hanyalah sebuah persembahan santai di mana-mana restoran asalkan dapat berkumpul kembali dengan rakan dan peminat.

“Awalnya, saya hanya rancang buat persembahan santai di sebuah restoran. Asal dapat berkumpul dan bergembira dengan peminat. Namun, ramai cakap saya perlu buat showcase.

“Tiada secebis niat pun untuk menunjuk-nunjuk mampu bergerak sendiri. Perjalanan karier ini adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bukan juga untuk tunjukkan kebolehan kerana semua orang boleh nampak. Saya bukanlah orang yang pandai meninggi diri. Saya hanya buat dan biar orang luar menilai,” katanya.

Menerusi showcase itu, pelakon dan pelawak Ain Sufia mengendalikan perjalanan acara. Ia diserikan lagi dengan persembahan Jiha Akhir, Ray Asri dan Zetty Mentor.

Beberapa selebriti turut hadir menonton persembahan Lan antaranya Farhan, Fizi Ali, Shakilla Khoriri, Marsha Milan Londoh, Azharina Azhar, Nizam Laksaman dan Raja Azura.

Lagu yang dipersembahkan pada malam itu pula ialah Amboi, Memburu Impian, Selagi Ada Rindu, Cinta Tiga Segi, Luahan Hati, Ku Membisu, Resam Pak Belalang, Zunika, Keindahan Pantai, Delailai, Seragam Hitam dan Suatu Kenangan.

Lan turut mendendangkan lagu Hukum Karma dan Bujang Senang sebagai tanda penghargaan buat Datuk Awie yang banyak membentuk dan membantunya sejak awal karier.

Lan tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan dua lagu baru, Berpisah Tanpa Rela dan Twist Abang Sayang.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 12:14pm
d