rap

Misteri Dilaila Inspirasi dua filem korea

Oleh Amirul Haswendy

SEJAK ditayangkan pada 21 Februari lalu, beberapa warganet dan peminat filem mendakwa filem terbaru arahan Syafiq Yusof berjudul Misteri Dilaila ‘menciplak’ sebuah filem antarabangsa Vanishing Act yang diterbitkan pada 1986.

Mereka turut mendakwa hampir 80 peratus penceritaan Misteri Dilaila adalah sama dengan filem arahan David Green itu yang dilakonkan oleh Mike Farrel dan Margot Kidder sebelum ini.

Antaranya dakwaan filem Misteri Dilaila sekadar menggantikan karakter anjing yang terdapat dalam Vanishing Act kepada kucing dan selebihnya jalan cerita hampir sama.

Selain itu, ada juga peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana berasa tertipu dengan persamaan jalan cerita dua filem itu.

Dalam pada itu, usaha Harian Metro menghubungi Syafiq untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu tidak berjaya.

Bagaimana pun, laporan Harian Metro pada 25 Februari lalu, Syafiq sudah pun menjelaskan filemnya mendapat inspirasi daripada dua filem Korea Selatan berjudul The Forgotten dan Challenging.

“Saya memang suka tengok filem dari Korea Selatan dan filem Misteri Dilaila mendapat inspirasi ‘paling besar’ dari sana cuma diolah dengan gaya saya,” katanya.

Dia turut ditanya mengenai dakwaan filemnya mempunyai persamaan dengan sebuah filem Tamil berjudul Puthiya Paravai yang ditayangkan pada 1964 .

“Ini pertama kali saya dengar mengenainya (filem Tamil). Apa saya boleh katakan, saya hanya dapat inspirasi dari filem Korea Selatan,” katanya.

Selain persamaan dengan beberapa filem luar negara, filem ke lapan arahan Syafiq itu turut menjadi bahan bualan peminat filem tempatan susulan wujud dua versi penamat berbeza.

Filem lakonan Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor dan Nam Ron berjaya meraih kutipan lebih RM4 juta setakat ini.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 6:35pm
d