rap

Intan Najuwa, tak salah pun kena kecam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SAYA hanya dipanggil sebagai saksi dalam kes yang membabitkan seorang kawan dan bukan terbabit dengan jenayah. Apabila dikehendaki polis sebagai saksi terus dianggap terbabit sama dengan isu itu sedangkan ia hanya persepsi orang.”

Demikian kata pelakon Intan Najuwa Abd Wahid, 21, mengulas kes penyalahgunaan dadah membabitkan seorang rakan kira-kira dua tahun lalu.

Nama Intan sebelum ini hangat diperkatakan apabila terpampang di beberapa portal berita kerana dikehendaki pihak berkuasa.

“Apabila berita ini keluar, saya hanya mendiamkan diri kerana sedia maklum saya hanya saksi. Terang-terang perkataan ini ditulis dalam artikel.

“Saya akui suka berkawan dengan sesiapa saja tapi tidaklah sampai nak menyiasat secara mendalam pekerjaan mereka.

“Kebetulan waktu dia kena, saya pun ada sama dan dianggap sebagai saksi. Orang pula kenal saya, keluarlah segala artikel begini. Memang amat terkejut,” katanya.

Menurut Intan, dia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan terkejut apabila mereka memaklumkan hairan namanya boleh tersebar.

“Polis kata pembabitan saya sebagai saksi tak penting pun kerana jika ada pun takkan mengubah keadaan kerana saya tak tahu apa-apa.

“Apapun saya sudah menjalankan tanggungjawab untuk membantu polis apabila diperlukan.

“Saya harap masyarakat tidak terus pandang serong terhadap saya. Biasalah orang kita kadangkala hanya baca tajuk berita dan kemudian terus kecam,” katanya.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini meluahkan rasa geram kerana ada segelintir masyarakat tidak gemar membaca dan mudah mengecam tanpa usul periksa.

“Saya ada jelaskan perkara ini selengkapnya di Instagram. Kalau mereka nak kecam pun, tak tahulah dari segi mana mereka nak buat begitu.

“Lainlah kalau saya memang bersalah. Memang pelik kerana setiap benda nak dikecam sedangkan mereka tak perlu pun berbuat demikian.

“Sebagai langkah selamat, saya buat keputusan tidak mahu ambil pusing segala kecaman itu dan biarkan begitu saja,” katanya. mereka dan biarkan begitu saja,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 7:14pm
d