rap

Pentas rendah sangat!

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

KALI terakhir ‘boyband’ Blue datang ke Malaysia pada 28 September 2004 sempena mempromosi album Best Of Blue di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort Indoor Arena.

Selepas 16 tahun, kumpulan asal London dianggotai Lee Ryan, Antony Costa, Duncan James dan Simon Webbe kembali menghiburkan peminat mereka pada Ahad lalu di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras.

Ia bersempena konsert jelajah ke beberapa negara Asia Tenggara bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

Seperti dijangka, Blue nyata mengembalikan kegemilangan mereka pada awal 2000 malam itu.

Menariknya, lebih 3,000 peminat memenuhi ruang dewan tertutup yang mampu menampung hampir 6,000 tetamu.

Persembahan pertama bermula jam 9.30 malam melalui lagu Sorry Seems To Be The Hardest Word yang juga lagu nyanyian asal Sir Elton John.

Lagu itu disifatkan tepat pada masanya kerana penonton mulai gelisah selepas menanti hampir sejam untuk konsert berlangsung.

“Seronok dapat kembali ke Malaysia! Tahukah, saya cacah tatu pertama saya di sini?” jerit Lee Ryan lantas mendapat sorakan peminat.

Dewan semakin meriah apabila mereka turut mengajak peminat berdiri sambil menari bersama selama konsert berlangsung.

“Kamu datang ke sini (konsert) untuk berhibur dan anda semua duduk. Kami mahu anda semua berdiri dan menari bersama kami!” kata James.

Malangnya, disebabkan kedudukan pentas yang sedikit rendah untuk sebuah konsert antarabangsa, peminat yang berada di kedudukan belakang kecewa kerana tidak dapat melihat persembahan Blue berikutan ramai peminat di bahagian depan berdiri, sekali gus membataskan tontonan mereka.

Berdasarkan pemerhatian, beberapa peminat dilihat meninggalkan dewan dipercayai tidak berpuas hati dengan situasi yang terpaksa dilalui mereka walaupun terdapat dua layar besar disediakan di kiri dan kanan pentas.

Mungkin jika pihak penganjur memberi perhatian pada pemilihan lokasi sesuai, situasi terpencil itu tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, Blue yang teruja dengan sambutan luar biasa peminat berjanji akan kembali ke sini pada masa depan.

“Tanpa anda semua, kami tidak akan berada di sini. Kami berjanji, jika ada sokongan berterusan, kami akan kembali ke Malaysia,” kata Lee Ryan lagi.

Antony Costa pula meluahkan rasa terharu kerana dialu-alukan untuk kembali ke Malaysia selepas mengadakan konsert di Singapura pada malam sebelumnya.

Sebanyak 17 lagu dipersembahkan dalam enam segmen. Set pertama pembukaan selain lagu Sorry Seems To Be The Harderst Word adalah Bubblin’ dan Fly By.

Pada set kedua, mereka menyampaikan lagu Too Close, If You Come Back dan Hurt Lovers.

Set ketiga dan keempat mula diisi dengan lagu rancak seperti You Make Me Wanna, I Can, Paradise, Flexin’ dan Guilty.

Pada set kelima pula, mereka memilih lagu hit pada 2013 berjudul We’ve Got Tonight yang kemudian disusuli dengan lagu hit 2003 dan 2005 yakni Curtain Falls dan Breathe Easy.

Pada set terakhir, mereka menutup dengan tiga lagu hit mereka sepanjang zaman iaitu One Love, Best In Me dan All Rise.Persembahan berakhir sekitar jam 10.45 malam.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 1:00pm
d